Kenderaan Utiliti Sukan (SUV), Toyota Corolla Cross serba baru yang dinantikan kini tiba secara rasmi di Malaysia! Ia memberi tambahan pilihan SUV terbaru yang menarik untuk pengguna terus meneroka dan mengembara.


Walaupun ahli keluarga Corolla, ia mempunyai penggayaan yang sama sekali berbeza daripada Corolla Sedan. Ia mempunyai rekaan menonjol yang mengetengahkan watak sporty dan seronok dipandu disamping berfungsi dengan baik sebagai sebuah SUV.


Sama seperti kebanyakan model terkini Toyota, Corolla Cross dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), sebuah struktur yang membolehkan kejuruteraan lebih anjal dilaksanakan serta beberapa lagi manfaat lain. Dengan TNGA, kedudukan titik graviti lebih rendah boleh dicapai untuk meningkatkan kestabilan kenderaan, sementara kerangka badan lebih kukuh memperkayakan lagi ketahanan dan keselesaan.

Ini Fakta Corolla Cross Yang Anda Perlu Tahu


1. Berbanding Corolla Sedan, ia memiliki badan yang sedikit lebih pendek dengan panjang keseluruhan 4,460 mm. Bagaimanapun, ia lebih lebar sebanyak 45 mm dengan 1,825 mm dan 185 mm lebih tinggi dengan 1,620 mm. Ketinggian ini membolehkan jarak kelegaan tanah dinaikkan kepada 161 mm.


2. Corolla Cross 1.8G menggunakan lampu utama jenis projektor halogen, sementara varian 1.8V pula dilengkapi dengan unit Bi-LED. Untuk varian 1.8V juga, ia dilengkapoi lampu nyalaan siang (DRL) menampilkan ciri "tirai cahaya" yang menyuntik penampilan unik dan berkualiti, ciri sama turut diberikan untuk lampu belakang.


3. Bagi Corolla Cross 1.8V juga, teknologi keselamatan bersepadu Toyota Safety Sense (TSS) turut tersedia selari dengan Toyota Synergised Mobility. Sistem dalam TSS 2.0 merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB). Teknologi teras ini, yang memanfaatkan radar dan kemara, turut dibantu oleh ciri Peninjau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS). Corolla Cross turut dilengkapi Perakam Video Digital (DVR) di depan (ditawarkan sebagai pilihan untuk bahagian belakang) yang membolehkan pemandu merakam pergerakan kenderaan sepanjang masa.


4. Tema warna utama ruang kabinnya ialah hitam dengan kemasan balutan kulit bagi tempat duduk, sementara penyudah cat satin digunakan pada bahagian perincian lain. Pencahayaan LED pada bahagian pintu depan menghasilkan suasana berkualiti tinggi dan melahirkan tanggapan menarik. Untuk kemudahan pemandu pelbagai saiz, tempat duduknya didatangkan dengan ciri larasan elektrik lapan-hala.


5. Panel instrumen mempunyai rekaan sporty dengan fokus utama pada speedometer di tengah serta Multi-Information Display (MID) 4.2-inci. Panel sembilan-inci di tengah papan pemuka pula adalah untuk paparan sistem infotainmen dan audio, serta memancarkan imej dari kamera undur. Sistem ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem sambungan lain termasuklah USB Mirroring, AUX dan Bluetooth.


6. Selain kemudahan sistem pintar tanpa kunci untuk memudahkan lagi urusan keluar-masuk dan menghidupkan enjin, ia juga datang dengan pintu belakang sensor kuasa elektrik yang boleh dibuka secara automatik melalui pengesanan gerak kaki pengguna.


7. Ruang but belakang mempunyai kapasiti 440 liter. Untuk melindungi penglihatan terhadap ruangan ini, penutup tonneau boleh gulung ada disediakan. Jumlah ini boleh ditingkatkan dengan merebahkan bahagian penyandar kerusi belakang.


8. Toyota Corolla Cross dikuasakan oleh enjin 1.8-liter petrol DOHC dengan Dual VVT-i yang digabungkan Transmisi Sequential Shiftmatic (CVT) tujuh-kelajuan. Ia menghasilkan 139 PS kuasa pada 6,400 rpm dengan 172 Nm tork pada 4,000 rpm.


9. TNGA turut merangkumi kejuruteraan enjin serta suspensi dan direka untuk menyediakan imbangan pengendalian dinamik dan stabil tanpa mengorbankan keselesaan. Aspek pengendalian Corolla Sedan yang disanjung juga turut terserlah pada versi SUV ini. Tambahan pula, radius pusingan 5.2 meter — terbaik dalam kelasnya — memudahkan lagi pemandu.


10. Selain itu, Sistem Telematik Kenderaan (VTS) boleh menjejaki kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM/GPS. Pemilik boleh juga meninjau status penghidup dan kelajuan kenderaan, dan sekiranya kereta dicuri, pusat panggilan 24/7 akan dapat mengesannya dan memaklumkan pihak berkuasa untuk tindakan pantas. Sekiranya ada impak yang dikesan, pusat panggilan akan memaklumkan khidmat kecemasan untuk menyediakan bantuan di lokasi semasa kenderaan. Pemilik Corolla Cross akan menikmati langganan VTS percuma selama tiga tahun.


Pelanggan boleh memilih warna luaran yang terdiri daripada Red Mica Metallic, Platinum White Pearl, Metalstream Metallic, Graphite Metallic dan Nebula Blue Metallic.

Buat masa ini, Corolla Cross itu diimport CBU dari Thailand yang mempunyai jaminan kilang selama lima-tahun tanpa had perbatuan disediakan, berserta jaminan sokongan lepas jualan seluruh negara dengan ketersediaan alat ganti tulen.

Harga mengikut varian tidak termasuk insurans dengan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2021: