Antarabangsa

BMW tambah model hibrid PHEV terbaru iaitu X3 xDrive30e

gempak
Erywan
06/11/2019
05:56 MYT
Sponsor Banner
BMW tambah model hibrid PHEV terbaru iaitu X3 xDrive30e
Selepas memperkenalkan X1 xDrive25e pada September lalu, BMW kini kembali dengan satu lagi model hibrid PHEV terbaru iaitu X3 xDrive30e. Model itu dipasang di kilang BMW di Spartanburg, Amerika Syarikat dan akan dipasarkan secara global bermula tahun hadapan.
X3 xDrive30e dikuasakan oleh enjin TwinPower Turbo berkapasiti 2.0-liter empat silinder 184hp yang digabungkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Enjin tersebut dibantu oleh sebuah motor elektrik di dalam kotak gear yang menjana kuasa tambahan sebanyak 109hp.
Dengan kuasa keseluruhan mencecah 292hp dan 420Nm, ia boleh melakukan pecutan 0-100km/j dalam 6.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 210km/j. Purata penggunaan bahan api yang didakwa oleh BMW adalah antara 2.1 hingga 2.4 liter bagi setiap 100km.
Bagi pemanduan dengan kuasa elektrik sahaja, bateri lithium-ion 12kWh dikatakan mempunyai tenaga yang cukup untuk pemanduan sejauh 51 hingga 55km. Sementara itu, kelajuan maksimum yang boleh dicapai adalah 110km/j dalam mod Auto eDrive dan 135km/j dalam mod Max eDrive.
Selain itu, X3 ini juga didatangkan dengan mod Battery Control yang membolehkan pemandu menyimpan tenaga elektrik yang ada untuk digunakan kemudian. Pengecasan mengambil masa selama tiga jam setengah dengan menggunakan BMW i Wallbox standard.
Menurut BMW, kedudukan pek bateri di bawah tempat duduk belakang tidak banyak menjejaskan kapasiti but yang masih menawarkan ruang sebesar 450 liter. Jumlah ini boleh diperbesarkan lagi sehingga 1,500 liter jika kerusi belakang dilipat dalam susunan 40:20:40.
Kelengkapan lain yang disertakan termasuk sistem suspensi adaptif, stereng sport, sistem brek M Sport, Head-Up Display, Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Driving Assistant Plus dan Parking Assistant Plus.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live