TEMPATAN
BMW X3 M Dan X4 M Competition Facelift, Tampak Menonjol Dan Paling Penting Lebih Pantas
Selepas dua tahun berada di pasaran, duo SUV saiz pertengahan berprestasi tinggi BMW iaitu X3 M Competition dan X4 M Competition kini diberikan facelift bagi menjadikan ia tampak menonjol di jalan raya dan yang paling penting, lebih pantas.
Kedua-dua jentera terbabit dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam silinder sebaris yang diperkuatkan lagi dengan sepasang pengecas turbo. Walaupun kuasa kuda kekal 510hp, penggunaan aci engkol yang lebih ringan menyaksikan tork meningkat sebanyak 50Nm kepada 650Nm dari 2,750 hingga 5,500 rpm.

Sistem suspensi adaptif M Sport adalah standard pada X3 M dan X4 M, begitu juga dengan stereng M Servotronic, mod M Dynamics untuk mereka yang ingin melakukan aksi drift, serta sistem brek M Compound.

Dari segi penampilan, gril ‘kidney’ kini lebih besar dan didatangkan dalam kepingan tunggal, manakala lampu pula dikecilkan sebanyak 10mm. BMW turut menambah lubang udara M Competition berwarna hitam glos pada bahagian sisi, selain mereka semula bampar hadapan dan belakang, di mana terdapatnya sepasang muncung ekzos dalam kemasan hitam krom.

Buat pertama kalinya, sistem Driving Assistant Professional yang merangkumi Active Cruise Control dan Parking Assist ditawarkan secara opsyen pada model ini.

Must-Watch Video