Honda Malaysia berkongsi kegembiraan atas pencapaian jualan kesejuta unit menerusi acara 1 Million Dreams Grand Finale yang bertemakan pesta ria. Acara yang menyeronokkan itu dianjurkan bagi meraikan rakyat Malaysia yang telah menjadi pendorong kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh Honda Malaysia.

Pada masa yang sama, acara istimewa ini diadakan bagi menyampaikan model-model Edisi Khas kepada empat pemenang bertuah:

Empat Pemenang Honda Edisi Khas 1 Milion


Honda Jazz - Shaiful Rezza Abdul Razak


Honda Civic - Chuah Sze Yong


Honda CR-V - Lim Lye Gaik


Honda Accord - Abdul Hakim Mohd Radzi

Acara ini adalah himpunan siri aktiviti-aktiviti yang berlangsung pada Februari dan Mac 2021 di mana Honda Malaysia berkongsi kegembiraan dengan rakyat Malaysia di seluruh negara menerusi “1 Million Dreams Campaign”.

Aktiviti itu diadakan di semua pengedar sah Honda, manakala model Edisi Khas telah dibawa bersama ke Pameran 1 Million Dreams di seluruh negara untuk tatapan rakyat Malaysia. Jenama terkemuka iaitu CUCKOO, Shopee dan Watsons turut serta di dalam sambutan ini, menambahkan lagi keseronokan dengan aktiviti eksklusif sebagai penghargaan kepada pelanggan setia masing-masing.


Sejak Honda Malaysia memulakan kempen itu pada Februari 2021, maklum balas yang diterima adalah amat memberangsangkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan di mana lebih daripada 155,600 penyertaan diterima hanya dalam masa satu bulan!

Sementara itu, Honda Malaysia menjemput semua rakyat Malaysia untuk menghadiri acara Pesta Ria 1 Million Dreams Grand Finale bersama keluarga dan rakan-rakan untuk memeriahkan acara pada 27 dan 28 Mac dari jam 10 pagi hingga 10 malam di perkarangan letak kereta C Stadium Nasional Bukit Jalil.

Aktiviti-aktiviti menarik seperti Ferris Wheel, Merry-Go-Round, Bumper Cars, Paratrooper, Instax Photo-Booth, pelbagai pilihan trak makanan dan hadiah percuma menanti semua rakyat Malaysia yang datang berkunjung nanti. Masuk adalah percuma untuk semua.

Honda Malaysia ingin menekankan bahawa acara ini mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOPs) yang ketat seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia. Permainan riadah pesta ria akan disanitasi minimum setiap 2 jam manakala permainan di dalam kawasan tertutup akan disanitasi sekerap yang mungkin. Kereta-kereta pandu uji akan disanitasi setiap kali sesi pandu uji selesai.

Acara 1 Million Dreams Grand Finale merupakan sambutan perjalanan Honda di Malaysia, bermula dengan jualan pertama pada 2001 dan pembukaan kilang produksi pemasangan tempatan pertama pada 2003.

Ini adalah permulaan kepada lebih banyak pencapaian membanggakan, termasuk pembukaan kilang produksi pemasangan tempatan yang kedua di Pegoh, Melaka. Pembukaan kilang produksi yang kedua ini membolehkan Honda Malaysia memperkenalkan lebih banyak model CKD. Kini, model Accord, CR-V Baharu, Civic, HR-V, City Serba Baharu, Jazz dan BR-V adalah dipasang secara tempatan di Kilang Pegoh.