Honda Malaysia bekerjasama dengan Kelab Pembekal Honda Malaysia baru-baru ini membantu mayarakat setempat di Melaka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Bantuan berbentuk barangan keperluan bernilai RM40,000 itu diberikan kepada enam buah rumah kebajikan bagi membantu meringankan beban mereka.

Ia membabitkan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Dan Warga Emas Alor Gajah, Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Dan Anak Yatim Victory, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Harapan, Persatuan Kebajikan Sri Murni Insan Istimewa, Pertubuhan Kebajikan Bhagawan Sri Ramakrishna dan Pusat Jagaan Pertubuhan Villa Harapan.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, 2021 terus menjadi tahun yang mencabar buat Malaysia dengan peningkatan jumlah jangkitan COVID-19.

Menurutnya, ia menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Jun 2021 dan melakukan penutupan sektor ekonomi sekali gus menjejaskan kehidupan terutama mereka yang memerlukan bantuan.

“Justeru itu, kami membantu mereka yang memerlukan dengan mengagihkan barangan seperti beras, tepung, minyak masak dan telur. Selain produk kebersihan seperti lampin pakai buang, pencuci dan gel mandian,” katanya.

Sumbangan yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan itu diadakan pada 26 dan 28 Julai lalu sekali gus memberi manfaat kepada lebih 300 orang.

Pada masa sama, mereka turut menerima barangan tambahan termasuklah pakaian untuk orang dewasa, serta buku mewarna dan permainan bagi kanak-kanak.