Tempatan
Hyundai Tambah Lagi Model SUV, Yang Ini Pula Dikenali Bayon
Hyundai memperkukuhkan persaingan mereka dalam segmen crossover kompak di Eropah dengan pelancaran model baharu iaitu Bayon. Dari segi saiz, Bayon sedikit lebih besar jika dibandingkan dengan Kona namun reka bentuk bahagian hadapannya tidak ubah seperti model itu.
Seperti yang boleh dilihat, unit lampu utama Bayon diletakkan pada bahagian bampar bersebelahan dengan jeriji, manakala lampu nyalaan siang LED yang berbentuk tirus pula berada pada bahagian atas. Bahagian belakang pula didominasi oleh lampu berbentuk boomerang dan kemasan hitam pada bampar. ‘Skid plate’ hadapan dan belakang memberikannya imej yang lasak seperti sebuah SUV.
Sementara itu, ruang dalamannya pula diinspirasikan oleh i20. Seperti model hatchback itu, Bayon dilengkapi dengan sepasang skrin berukuran 10.25 inci, satu untuk panel instrumen dan satu lagi untuk sistem infotainmen. Ia juga menggunakan rekaan corong udara sistem pendingin hawa yang serupa.
Antara kelengkapan yang disertakan pada model ini termasuklah Apple CarPlay, Android Auto, sistem audio premium keluaran Bose, pad pengecas tanpa wayar dan tiga port pengecas USB, iaitu dua di hadapan dan satu di belakang. Walaupun bersaiz kompak, Bayon menyediakan ruang but berkapasiti 411 liter, iaitu 50 liter lebih besar berbanding Kona.
Bayon didatangkan dengan enjin turbo 1.0 liter tiga silinder dengan dua pilihan tahap kuasa iaitu 100PS dan 120PS. Kedua-dua versi digandingkan dengan sistem hibrid ringkas 48volt dan transmisi manual pintar (iMT) enam kelajuan dengan ciri pemadanan rev dan pacuan roda hadapan. Sebagai alternatif, pelanggan boleh mendapatkan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.
Sistem keselamatan pula diterajui oleh Hyundai SmartSense dengan pelbagai sistem bantuan pemandu seperti Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), Intelligent Speed Limit Assist (ISLA), High Beam Assist (HBA), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Driver Attention Warning (DAW) dan pelbagai lagi.
Must-Watch Video