Tempatan

Lexus LM 350 - MPV Paling Mahal Di Malaysia, RM1.148 Juta Sahaja

gempak
Erywan
16/04/2021
04:24 MYT
Sponsor Banner
Lexus LM 350 - MPV Paling Mahal Di Malaysia, RM1.148 Juta Sahaja
Lexus Malaysia melancarkan segmen kenderaan mewah baharunya dengan pengenalan rasmi model MPV menerusi Lexus LM 350. Ditanggap oleh Lexus sebagai genre baru kenderaan "Pengangkut Mewah", model ini merangkumi luahan inovasi Lexus, keindahan seni pembuatan serta kehalusan Omotenashi yang memang sudah sinonim dengan jenama ini.
Reka bentuk Lexus LM diperhalusi oleh garis-garis ketara yang mengutamakan penonjolan kekuatan, termasuk gril spindle besar yang turut membingkaikan lampu depan projektor LED 3- tahap ultra kompaknya.
Ciri premium Lexus LM 350 ditingkatkan dengan rim aloi 18-inci dengan rekaan pengurangan bunyi bersama kemasan metalik krom jelas. Model baru ini datang dengan dua pilihan warna hitam dan juga White Pearl Crystal Shine.
Sebagai MPV flagship Lexus, LM 350 menawarkan ruang dalaman sangat lapang untuk keselesaan peribadi sepenuhnya. Lexus ini tampil hanya dengan empat tempat duduk, memberikan ruang optimum untuk memuatkan kerusi lounge VIP dengan tempat kaki yang luas.
Tempat duduk itu juga menampilkan kusyen Adaptipedic yang mengikut bentuk tubuh untuk memberi keselesaan maksimum, sementara tempat rehat kaki didatangkan dengan fungsi urutan bersama ciri penyejukan dan pemanasan.
Bagi memberi ruang privasi, jurutera Lexus mereka penghadang di antara baris tempat duduk pertama dan kedua. Panel kaca unik yang disertakan boleh dinaikkan dengan satu sentuhan dan menawarkan pengasingan bunyi, sementara partikel elektronik yang diadun bersama panel kaca mempunyai kejelasan yang boleh dilaras.
Sistem audio Mark Levinson dengan 19-pembesar suara, berfungsi sebagai pentas bunyi yang dinamik sementara panel paparan 24-inci definisi tinggi dipasang pada penghadang supaya penumpang dapat menikmati hiburan.
Ciri utama model ini juga merangkumi rak majalah boleh lipat serta kubikel besar di kedua-dua sisi kenderaan untuk ruang simpanan tambahan. Peti sejuk mini binaan dalam memastikan minuman dan makanan sentiasa sejuk.
Bagi memastikan ia memenuhi kualiti yang dijangka dari kenderaan Lexus, LM 350 dilengkapi dengan enjin berkuasa tinggi 3.5 liter yang menghasilkan output 296hp dengan tork 361Nm. Dipasangkan dengan transmisi automatik direct shift lapan-kelajuan.
Bagi memberi keselesaan terbaik, sistem suspensinya menggunakan teknologi penyerap hentak dengan swing valve. Melalui injap ultra-low velocity dalam penyerap hentak, Lexus LM 350 dapat mengawal aliran minyak dengan cekap yang membolehkan kenderaan cepat bertindak balas terhadap ketidak-sempurnaan jalan raya untuk kelancaran perjalanan.
Keselamatan adalah keutamaan tertinggi jenama Lexus. LM 350 membawa nilai yang sama dalam memberikan keselamatan optimum untuk semua penumpang yang dibekalkan oleh Lexus Safety System+ (LSS+). Ia menawarkan ciri Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan fungsi Start/Stop, Lane Tracing Assist (LTA), Lane Departure Alert (LDA) dan Adaptive High-Beam System (AHS). Tujuh beg udara yang dimuatkan termasuk beg udara tirai sisi akan mengurangkan risiko kecederaan serius pada penumpang sekiranya berlaku perlanggaran.
Lexus LM 350 empat-tempat duduk ditawarkan dengan harga RM1,148,000 atas jalan tidak termasuk insurans (Semenanjung Malaysia) dan boleh didapati di semua enam Pusat Lexus di seluruh negara. Pelanggan pertama Lexus LM 350 akan menerima kenderaan mewah baru mereka yang dikilangkan di Inabe, Jepun pada awal Julai
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live