TEMPATAN
Mitsubishi Triton Athlete - Varian Flagship Terbaru Gantikan Triton Adventure X
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) melancarkan trak pikap varian baharu menerusi Mitsubishi Triton Athlete untuk pasaran tempatan.
Ia adalah model ‘flagship’ atau varian tertinggi dalam keluarga trak pikap itu bagi menggantikan Triton Adventure X sebelum ini.
Triton Athlete diserlahkan dengan watak lasak yang hadir dengan tiga pilhan warna membabitkan Sun Flare Orange Pearl, White Diamond serta Jet Black Mica. Ia juga dilengkapi dengan aksesori tambahan untuk tampil ranggi.
Ia boleh dilihat pada bahagian bawah bampar hadapan hitam dan gril radiator ‘Dynamic Shield’ yang turut dipadankan warna sama. Pada masa sama, ia dilengkapi dengan pelekat bercorak berjalur pada sisi yang turut tertera nama Athlete.
Bagi melengkapkan imej sporty, kemasan hitam turut diwarnakan pada beberapa bahagian membabitkan cermin sisi, pemegang pintu, deflektor tingkap jenis aero, rim 18 inci dan pemijak kaki sisi.

Dari segi prestasinya, ia masih menggunakan enjin 2.4 liter MIVEC turbo diesel yang menyalurkan kuasa maksimum 181PS dengan tork setinggi 430Nm dengan teknologi VVT (Vable Valve Timing).
Untuk kawalan, Triton Athlete dipadankan sistem Super Select 4WD II dengan mod off-road untuk memberi cengkaman dan pengendalian optimum pada semua permukaan jalan. Ia juga didatangkan Kawalan Menuruni Bukit yang mana kelajuannya dikawal secara elektronik, selain mempunyai radius pusingan yang baik dengan 5.9 meter.
Keselamatannya pula, Triton Athlete didatangkan dengan ciri Mitigasi Perlanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta dengan Bantuan Pertukaran Lorong, Rear Cross Traffic Alert, Ultrasonic Misacceleration Mitigation System, Lampu Tinggi Auto dan 7 beg udara SRS.

Must-Watch Video