Sekilas
- Azeva berkongsi pengalaman membesar tanpa kehadiran bapa yang menjadi tempat bergantung dan meluahkan perasaan dalam podcast Confession Bilik Gelap.
- Walaupun dilihat hidup senang, Azeva akui menghadapi kesukaran seorang diri tanpa sokongan ibu bapa dan sering dibandingkan dengan rakan-rakan yang lengkap keluarga.
- Hubungan Azeva dengan bapanya, Ameng Spring, mula berubah positif selepas menyertai program Talk To My Manager, di mana bapanya mula lebih kerap mengambil berat.
Pelakon, pengacara dan penyanyi Azeva sebak mengenang pengalaman membesar tanpa kehadiran sosok seorang bapa yang boleh menjadi tempat bergantung dan meluahkan perasaan.
Menerusi podcast Confession Bilik Gelap, Azeva mengakui pernah membandingkan kehidupannya dengan rakan-rakan lain yang membesar dengan kehadiran ibu bapa di sisi.
Menurut Azeva, meskipun orang luar melihat kehidupannya sebagai mudah kerana sering mendapat apa yang diinginkan, mereka tidak mengetahui kesukaran yang terpaksa dilaluinya seorang diri.
“Saya suka buat perbandingan. Jadi, saya tengok kawan-kawan saya, mak ayah dia selalu ada. Tapi saya macam, kenapa saya seorang saja, macam tak ada.
“Tapi lama-lama lepas dah masuk sekolah menengah, saya fahamlah macam tak semua orang hidup dia sama.
“Jadi mungkin orang tengok saya ini hidup senang, dapat apa saya nak. Tapi mereka tak nampak yang saya kena seorang-seorang.
“Mak ayah tak ada, tempat luahan saya tak ada. Saya tak ada seorang lelaki dalam hidup saya. Ayah saya pun dia tak ada,” kongsinya dalam keadaan sebak.
Dalam pada itu, Azeva mengakui hanya mampu berdiam diri apabila ada pihak yang menganggap dirinya bertuah kerana dikurniakan kehidupan yang serba cukup.
“Saya diam saja bila orang kata saya macam… mereka kata saya ini tak adil, Tuhan bagi semua. Tapi ada orang nampak, ada orang tak nampak,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon filem Bisikan Nafsu itu berkata hubungan dengan bapanya iaitu penyanyi Ameng Spring mula menunjukkan perubahan selepas menyertai program Talk To My Manager.
“Saya rasa betul-betul ayah ada kembali masa Talk To My Manager. Baru dia betul-betul ada. Kalau sebelum ini dia macam ada, ada tak ada.
“Berhubung, tapi selalunya macam tiga bulan sekali, dulu kan. Tapi lepas Talk To My Manager itu hampir setiap hari dia tanya perkembangan, macam mana, okey tak.
“So saya rasa macam baru rasa ada seorang ayah itu lepas dah 25 tahun,” katanya.
Sumber - Instagram