Sebuah kereta sport jenis Porsche 911 yang pernah berada dalam pemilikan legenda bola sepak dunia, mendiang Diego Maradona bakal dilelong pada bulan Mac ini.

Kereta jenis Porsche 911 Type 964 Carrera 2 Convertible Works Turbo itu ialah kereta pertama milik Maradona yang akan dijual.


Mendiang menerima kereta itu semasa berpindah ke Seville, Sepanyol. Di sana, Maradona dilaporkan tidak menunggu lama untuk menyewa sebuah vila lembu laga popular dan menempah Porsche 911 terbabit.

Porsche itu adalah satu daripada 1,200 unit yang menggunakan enjin sejukan udara 3.6 liter enam silinder yang boleh menghasilkan 250hp. Kelajuan maksimumnya ialah 257 kilometer sejam (km/j).


Maradona pernah ditahan polis kerana melanggar lampu merah dan memandu sepantas 177 km/j di dalam kawasan bandar. Malangnya, mendiang tidak berada lama di Sepanyol dan pulang semula ke negaranya setahun kemudian.

Porsche itu dijual kepada seorang individu di Majorca dan beberapa kali berpindah tangan selepas itu sehingga 2016.


Setakat ini, kereta itu sudah dipandu sejauh 75,000 batu (120,700 kilometer). Namun, menurut rumah lelongan Bonhams, banyak bahagian kereta masih tulen dan baik.

Bonhams berpendapat Porsche 911 ini boleh mencatat harga bidaan antara €150,000 hingga 200,000 (RM734,956 hingga RM979,941). Kereta ini akan dilelong di acara lelongan Les Grandes Marques du Monde a Paris yang bermula 3 hingga 10 Mac ini.