Tempatan

Porsche 911 Turbo S TechArt GTstreet R - Versi Baharu Lebih Pantas, Malah Menonjol Di Jalan Raya

gempak
Erywan
22/06/2021
08:18 MYT
Sponsor Banner
Porsche 911 Turbo S TechArt GTstreet R - Versi Baharu Lebih Pantas, Malah Menonjol Di Jalan Raya
Jika Brabus sinonim dengan Mercedes-AMG, TechArt pula adalah nama yang tidak asing lagi bagi pemilik Porsche. Syarikat yang berpengkalan di Leonberg, Jerman itu baru-baru ini memperkenalkan produk terbaru mereka iaitu GTstreet R yang berasaskan model 911 generasi 992.
Bagi anda yang tidak tahu, GTstreet R adalah nama yang diberikan kepada 911 Turbo dan Turbo S talaan TechArt sejak 2001 lagi, bermula dengan 911 generasi 996. Versi terbaharu ini tampil dengan penambahbaikan enjin dan aerodinamik yang bukan sahaja menjadikannya lebih pantas, malah lebih menonjol di jalan raya.
Ini kerana GTstreet R didatangkan dengan komponen gentian karbon seperti bukaan udara pada bampar hadapan, skirt sisi, diffuser dan spoiler berkembar. Menurut TechArt, kit badan ini juga diuji di dalam terowong angin dan hasilnya adalah pengurangan daya angkat (lift) sehingga 45 peratus pada gandar hadapan dan kadar ‘downforce’ empat kali ganda lebih tinggi pada gandar belakang.
Satu lagi elemen yang menarik perhatian adalah rim TechArt Formula V Race berukuran 20 inci dan 21 inci yang dilengkapi dengan cakera gentian karbon. Pelanggan boleh memilih untuk memadankan rim ini dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S atau Pilot Sport Cup 2 berukuran 265/35 di hadapan dan 325/30 di belakang.
Di dalam, material berkualiti tinggi seperti Alcantara, kulit dan gentian karbon digunakan secara meluas bagi menghiasi segenap ruang kabin. Apa yang menarik, TechArt memberikan kebebasan kepada pelanggan untuk memilih apa sahaja gabungan corak dan warna yang menepati citarasa mereka.
Untuk kuasa, TechArt menawarkan menawarkan dua peringkat talaan untuk enjin twin-turbo enam silinder sebaris itu. Versi tertinggi mempunyai 800hp dan 950Nm, iaitu 150hp dan 150Nm lebih tinggi berbanding 911 Turbo S standard. Masa pecutan 0-100km/j tidak didedahkan, namun jentera ini dikatakan mampu memecut sehingga 350km/j.
Sebagai alternatif, mereka yang tidak memerlukan kuasa setinggi itu boleh memilih pakej kedua yang menawarkan 710PS dan 900Nm menerusi talaan pada sistem kawalan enjin. Menurut TechArt, pengeluaran GTstreet R akan dihadkan kepada 87 unit sahaja. Kos naik tarafnya bermula dari 73,000 euro (RM360,170) tidak termasuk cukai, serta kereta 911 Turbo atau Turbo S itu sendiri.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live