Porsche membuka semula Pusat Teknikal Nardo yang terletak di Apulia, Itali selepas tujuh bulan pusat itu ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian.

Tarikan utama kemudahan itu adalah sebuah litar berbentuk bulat yang mempunyai ukuran panjang keseluruhan 12.6km dan lebar 16 meter. Apa yang istimewa mengenai litar itu adalah pemandu tidak perlu memutar stereng walaupun ketika bergerak pada kelajuan tinggi.



Menurut Porsche, kerja pengubahsuaian secara keseluruhannya menelan belanja berjumlah 35 juta Euro (kira-kira RM162 juta) dan ia merangkumi pembaikan lapisan permukaan litar, penambahan rel penghadang serta pembaikan platform dinamik kereta.

Dengan keluasan mencecah 106 ribu kaki persegi, platform dinamik itu menampilkan dua laluan lurus masing-masing sepanjang 700 meter dengan lebar 20 meter. Platform itu boleh digunakan untuk pelbagai jenis ujian seperti pecutan dari keadaan pegun, pengendalian, brek, sistem bantuan pemandu dan pelbagai lagi.



Satu daripada laluan terbabit juga mempunyai kawasan berair dan permukaan kawasan bergeseran rendah.

Secara keseluruhan, Pusat Teknikal Nardo menempatkan lebih 20 litar ujian yang dibina di atas kawasan berkeluasan 700 hektar. Dibina pada tahun 1975, ia pada mulanya dioperasikan oleh Fiat sebelum diambil oleh Porsche tujuh tahun lalu.



Kini, pusat ini mempunyai lebih 150 kakitangan dan antara pelanggannya adalah 90 buah syarikat pengeluar kenderaan dari seluruh dunia.