Tempatan
Rimac Nevera - Sesuai Dengan Namanya Diambil Dari Ribut Mediterranean
Di acara Geneva Motor Show 2018, pengeluar kenderaan elektrik dari Croatia, Rimac memperlihatkan hypercar konsep mereka yang dikenali sebagai C_Two. Selepas tiga tahun berlalu, syarikat itu mengumumkan yang model terbabit akan memasuki fasa pengeluaran sebagai Nevera.
Menurut Rimac, majoriti komponen yang terdapat pada Nevera dihasilkan di ibu pejabatnya di Zagreb. Setiap sistem ditambah baik dan dipertingkatkan bagi memastikan ia dapat memenuhi sasaran yang telah ditetapkan ketika projek ini bermula pada 2018.
Ini termasuk aspek aerodinamik, di mana bahagian-bahagian seperti ‘diffuser’, ‘splitter’ dan lubang ambilan udara telah direka semula bagi menjadikannya 34% lebih cekap berbanding prototaip awal. Dengan pelbagai elemen aerodinamik aktif yang boleh bergerak secara bebas, jentera ini dikatakan boleh mengurangkan daya seretan sehingga 17.5% dalam mod ‘Low Drag’. Mod ‘High Downforce’ pula meningkatkan ‘downforce’ sehingga 326%.
Sesuai dengan namanya yang diambil dari ribut Mediterranean, Nevera mempunyai empat buah motor elektrik iaitu satu untuk setiap roda. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 1,914hp dan 2,360Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 96km/j dalam 1.85 saat, 0 hingga 161km/j dalam 4.3 saat dan 0 hingga 300km/j dalam 9.3 saat. Rimac mendakwa jentera ini boleh mencapai kelajuan maksimum 412km/j.
Kuasa untuk motor-motor elektrik tersebut dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti 120kWj yang dikatakan mampu menjana kuasa sehingga 1.4MW dan memberikan jarak pemanduan sejauh 547km. Pengecasan dari 0 hingga 80% hanya mengambil masa kira-kira 19 minit menerusi pengecas dengan kapasiti 500kW.
Aspek pengendalian pula diuruskan oleh sistem Rimac All-Wheel Torque Vectoring 2 (R-AWTV2) yang berupaya untuk melakukan 100 pengiraan sesaat bagi memastikan kereta sentiasa lincah. Ini dibantu dengan pek bateri tersebut yang direka sebagai sebahagian daripada casis monocoque Nevera, sekali gus menjadikan struktur gentian karbon itu 37% lebih tegar.
Seperti yang dijangka, Nevera akan ditawarkan sebagai hypercar EV ultra eksklusif dengan pengeluaran yang diterhadkan kepada 150 unit sahaja. Setiap satu dijual pada harga bermula dari 2 juta euro (RM10 juta).
Must-Watch Video