TEMPATAN
Suzuki Swift Sport Lancar Secara Rasmi di Malaysia - Enjin 1.4 Turbo, 140hp, 230Nm, RM139,900
Pemegang kenderaan jenama Suzuki yang terkini di Malaysia, Naza Eastern Motors Sdn Bhd secara rasmi melancarkan model pertamanya, Suzuki Swift Sport ke pasaran tempatan.

Hatchback segmen B itu dibina di atas platform baharu Suzuki HEARTEC yang menjanjikan kualiti pengendalian mantap. Jentera kompak berprestasi itu dikuasakan enjin turbo Boosterjet empat silinder bersesaran 1.4 liter. Ia mampu menjana 140hp dan tork 230Nm, kuasa itu disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam kelajuan.

Dari segi penampilan, Suzuki Swift Sport menerima gril baharu honeycomb berwarna hitam yang diapit sepasang lampu projektor LED. Ia juga diceriakan dengan kemasan gentian karbon pada bahagian bawah spoiler bawah, sisi dan belakang. Di belakang pula tampil ringkas dengan kombinasi lampu LED dan sepasang ekzos berkembar.

Pemandu juga pasti berpuas hati dengan tempat duduk semi-bucket, stereng dan pedal yang sporty. Selain konsol tengah dilengkapi skrin paparan berwarna bersaiz 7 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay.

Model yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini didatangkan dalam empat warna menarik iaitu kuning, putih, biru dan merah. Bagi mereka yang berminat untuk memiliki jentera kompak berprestasi itu, anda boleh berkunjung ke Pusat 3S Suzuki di Naza Automall, Petaling Jaya, Selangor.

Harga Suzuki Swift Sport:
- RM139,900
Spesifikasi
- Enjin: 1,373 1.4 BOOSTERJECT (Turbocharged)
- Kuasa Maksimum: 140hp pada 5,500rpm
- Tork Maksimum: 230Nm antara 2,500 sehingga 3,500rpm
- Transmisi: 6 kelajuan auto dengan paddle shifter
- Kelajuan Maksimum: 205km/j
- Tahap Penggunaan Bahan Api: 6.1/100km
- Berat: 970kg
- Panjang/Lebar/Tinggi: 3,890mm/1,735mm/1,495mm
Must-Watch Video