Tempatan

Tak Murah! Land Rover Defender Works V8 Trophy Ini Harga RM1.09 Juta

gempak
Erywan
11/02/2021
07:48 MYT
Sponsor Banner
Tak Murah! Land Rover Defender Works V8 Trophy Ini Harga RM1.09 Juta
Land Rover Defender serba baharu sudah pun diperkenalkan lebih setahun lalu, namun tidak dapat dinafikan bahawa model generasi terdahulu masih mempunyai tempat yang istimewa dalam hati ramai peminat SUV itu.
Bagi mereka yang berasa nostalgia, Land Rover Classic menawarkan peluang untuk memiliki lagenda ekspedisi itu menerusi model edisi terhad Defender Works V8 Trophy yang dihasilkan sempena pertandingan off-road di Istana Eastnor pada tahun ini.
Dibina berasaskan Defender Works V8 keluaran 2012 hingga 2016, versi Trophy dinaik taraf secara menyeluruh bagi menjadikan ia lebih lasak. Ini termasuk sistem suspensi, stereng dan brek yang dipertingkatkan, selain dilengkapi dengan takal hadapan, sangkar ekspedisi, rak bumbung, perlindungan bahagian bawah badan, A-bar, lampu sorot dan tayar lumpur.
Ia dikuasakan oleh enjin petrol berkapasiti 5.0-liter V8 yang menghasilkan 405PS dan 515Nm. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan keluaran ZF, dengan kuasa disalurkan ke keempat-empat roda menerusi ‘transfer box’ dua kelajuan.
Menurut Land Rover, pengeluaran Defender Works V8 Trophy terhad kepada 25 unit sahaja dan ia boleh didapati sama ada dalam versi 90 atau 110 Station Wagon. Setiap satu didatangkan dalam warna Eastnor Yellow dengan rim 16 inci yang sepadan, serta kemasan hitam Narvik Black pada gerbang roda, bonet dan pintu belakang. Lampu LED, gril Heritage serta lencana Land Rover Trophy turut disertakan.
Ruang dalaman pula dihiasi dengan upholsteri kulit Windsor berwarna hitam dengan jahitan kontras kuning. Kelengkapan lain yang ada termasuklah kerusi sport Recaro, jam Land Rover Trophy berjenama Elliot Brown serta sistem infotainmen dengan ciri navigasi dan ketersambungan telefon pintar.
Bergantung kepada sekatan pergerakan COVID-19, pemilik Defender Works V8 Trophy akan dijemput untuk menguji kehebatan jentera masing-masing dalam pengembaraan off-road selama tiga hari di Istana Eastnor. Terletak di Herefordshire, lokasi tersebut merupakan tapak ujian dan pembangunan kenderaan Land Rover. Sesi bimbingan bersemuka bersama pakar akan disediakan sebagai sebahagian daripada pengembaraan berkenaan.
Tempahan untuk Defender Works V8 Trophy kini dibuka pada harga bermula dari £195,000 (RM1.09 juta) untuk versi 90.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024