Tempatan

Tunggang Uji: Betul Ker Ni Modenas Dominar D400 Facelift, Lain Macam Rasanya…

gempak
Erywan
23/09/2021
06:34 MYT
Sponsor Banner
Tunggang Uji: Betul Ker Ni Modenas Dominar D400 Facelift, Lain Macam Rasanya…
Betul apa orang kata, “tak kenal maka tak cinta”. Peribahasa itu sangat sesuai untuk diberikan kepada Modenas Dominar D400 yang dinaik taraf. Untuk makluman, Dominar D400 naik taraf ini diperkenalkan pada 10 September lalu dan penulis diberi peluang untuk menunggang ujinya selepas beberapa hari ia dilancarkan.
Pada mulanya, penulis menganggap prestasi motosikal ini masih lagi sama dengan sebelum ini, tetapi sebaik sahaja menghidupkan enjin, bunyi yang keluar dari peredam membuatkan penulis rasa tertarik. Ini kerana bunyinya sedikit kasar berbanding sebelumnya dan ini satu perubahan yang sangat bagus!
Perubahan pada enjin pula, ia kini menggunakan enjin 373cc DOHC berbanding SOHC sebelumnya. Dominar D400 ini rasa bertenaga pada gear tinggi dan apa yang boleh kongsikan, prestasinya lebih mantap dan lancar.
Ketika menunggang pada kelajuan 90-100km/j, penulis tidak perlu menukar gear rendah untuk memecut laju sehingga 140-150km/j dalam tempoh yang singkat, rasa getaran pun sedikit kurang pada tempat duduk dan pemijak kaki berbanding sebelumnya.
Bagi yang berulang-alik ke tempat kerja, Dominar D400 sangat sesuai untuk kegunaan harian, lebih-lebih lagi dengan posisi duduk yang menegak membuatkan kurang rasa penat untuk menunggang jarak jauh.
Penggunaan enjin DOHC itu adalah kekuatan sebenar untuk Dominar D400 ini. Ia meningkatkan lagi kuasanya kepada 40hp berbanding 35PS yang menggunakan rangkaian kuasa SOHC. Cuma kuasa tork bagi versi baharu dan lama masih lagi sama iaitu 35Nm. Pada masa sama, penukaran gear rendah juga lebih lancar apabila versi Dominar D400 naik taraf ini turut menggunakan sistem klac Assist and Slipper.
Dari segi pengendalian, Ia menggunakan fork hadapan terbalik atau lebih dikenali sebagai fork USD yang menggantikan fork teleskopik konvensional pada model sebelumnya. Selain tampak lebih bergaya, ia juga memberi gaya tunggangan yang lebih stabil dan yakin terutama mengambil selekoh pada kelajuan yang sedikit tinggi.
Kosmetiknya pula, mereka yang tidak biasa dengan Dominar D400 mungkin nampak sama sahaja. Namun kalau dilihat secara dekat sebenarnya banyak perbezaan yang dilakukan pada Dominar D400 yang dinaik taraf ini.
Ia boleh dilihat pada peredam ekzos yang mempunyai dua muncung, kemasan tangki bercorak carbon baharu, cermin sisi serta logo Dominar pada tempat duduk belakang. Ia juga hadir dua paparan meter LCD yang kini lengkap dengan indikasi gear, penunjuk kelajuan, jarak perjalanan, jam, rpm, serta penunjuk tahap minyak.
Lagi satu kelebihan Dominar D400 adalah harganya, ia dijual pada RM13,997 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Secara jujur, ia dah sangat murah dan berbaloi untuk dimiliki dengan motosikal berkapasiti 373cc berbanding jenama lain. Mereka yang berminat, boleh berkunjung ke wakil pengedar sah MODENAS mulai September 2021.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live