,
Tempatan

UMW Toyota Motor Dedah Teaser Model Baharu, Adakah Mereka Bawa Masuk Toyota Corolla Cross Hybrid?

Erywan
28/09/2021
03:37 MYT
UMW Toyota Motor bakal merancakkan lagi industri automotif tempatan dengan pelancaran teknologi Hibrid Elektrik buat pasaran Malaysia.
Ini tidak mengejutkan, memandangkan Toyota sudah mempelopori teknologi berkenaan dengan lebih daripada 18 juta kenderaan terjual setakat ini, melalui penawaran 45 model Kenderaan Hibrid Elektrik (HEV) yang tersedia ketika ini, termasuk empat kejayaan berturut-turut dalam perlumbaan Le Mans 24 Hours di bawah payung Toyota Gazoo Racing.
Menerusi gambar teaser yang disiarkan, jelas kelihatan bentuk badan SUV yang seakan-akan model Corolla Cross Hybrid. Ini juga tidak mengejutkan, kerana model petrolnya juga akan dipasang CKD tahun ini. Pada masa sama, laman web rasmi Toyota Malaysia juga mengeluarkan teaser “Live Hybrid Film Premiere” yang menunjukkan model baharu itu bakal dilancarkan pada 14 Oktober ini.
Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, untuk masa terdekat, pihaknya sangat positif bahawa kenderaan hibrid elektrik (HEV) menjadi pilihan realistik dan paling mudah dicapai untuk pelanggan di Malaysia dari segi praktikaliti dan prasarana, dengan potensinya yang juga sangat besar di Malaysia.
“Ia menjadi jambatan yang sangat realistik ke arah elektrifikasi kenderaan sementara usaha masih dijalankan untuk membolehkan kenderaan bateri elektrik (BEV) menjadi kenyataan, misalnya aspek pengurangan kos, penambahbaikan campuran tenaga dan pembangunan prasarana,” katanya.
Untuk makluman, HEV Toyota memiliki ciri membabitkan:
Dwi-kuasa: Menggabungkan enjin petrol yang cekap dengan dua motor elektrik, sinergi kedua-dua sumber tenaga itu memberikan kecekapan, pemanduan, prestasi dan jarak perjalanan yang banyak antara isian semula minyak.
Senyap: HEV generasi barunya direka untuk menjadi sangat menyeronokkan untuk dipandu, menawarkan tahap lebih tinggi bagi prestasi, kepekaan, pecutan dan kendalian, dan dalam masa sama memberikan tahap lebih baik bagi aspek kebisingan, gegaran dan kekerasan (NVH).
Dibina untuk ketahanan: Bateri generasi keempat bagi Sistem Hibrid Elektrik Toyota juga sudah direka untuk tahan sepanjang kitaran hayat kenderaan, dibangunkan untuk memuaskan lima parameter utama untuk kelegaan fikiran — keselamatan, jangka hayat panjang, kualiti tinggi, produk kualiti tinggi yang mampu milik serta tahap prestasi yang tinggi.
Kurang pembebasan gas: Strateginya adalah untuk membangunkan kenderaan yang tidak hanya menghasilkan kurang pembebasan gas, tetapi untuk menerapkan proses dan teknologi baru untuk mengurangkan jumlah sumber dan tenaga yang diperlukan dalam pengeluaran kenderaan itu.
Teknologi juara: Kemajuan teknologi akan terus diuji dengan cermat dan akan dibuktikan melalui penglibatan Toyota dalam sukan permotoran antarabangsa. Ini termasuklah acara tersohor seperti perlumbaan endurance Le Mans 24 Hours dan Kejuaraan Rali Dunia.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Unitar