Kadang-kadang, kejayaan besar lahir daripada ruang kecil. Itulah kisah Arieni Adriena, pengasas Gula Cakery, yang memulakan perjalanan bisnesnya dengan hanya RM20,000, sedikit simpanan, dan sebuah impian.
Hari ini, jenama itu sudah pun mencatatkan jualan sehingga RM4 juta sebulan!

Advertisement
Pengiktirafan terhadap usaha ini turut datang daripada tokoh politik yang juga bekas Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin. Arieni mengakui hatinya tersentuh apabila mendapat perhatian sebegitu.
“Saya rasa sangat terharu apabila YB Khairy Jamaluddin puji usaha kami. Beliau memang seorang pemimpin yang saya hormati. Pada masa yang sama, pujian itu buat saya rasa saya perlu buat lebih baik lagi supaya Gula Cakery terus kekal kukuh dan berkembang,” katanya.
Perjalanan Gula Cakery bermula di dapur rumah keluarga. Arieni membakar kek, menjualnya, dan menggunakan semula keuntungan untuk mengembangkan bisnes.
Langkah demi langkah, outlet baharu dibuka, pertandingan disertai, peluang bimbingan direbut.
Bagi Arieni, resipi kejayaan bukan semata-mata tentang rasa manis kek atau pencuci mulut. Ia tentang disiplin, keberanian mencuba dan kesediaan untuk terus belajar.
“Prinsip saya mudah, ‘never stop learning’. Saya belajar resepi baharu, operasi dan kepimpinan. Pemikiran ini buat saya berani ambil peluang dan sentiasa perbaiki diri serta bisnes,” jelasnya.

Namun, industri F&B tidak pernah sunyi daripada cabaran. Persaingan semakin sengit, selera pelanggan sentiasa berubah.
“Cabaran paling besar adalah untuk terus relevan. Kami atasi dengan inovasi berterusan, tingkatkan pengalaman pelanggan, serta pastikan servis dan kualiti sentiasa konsisten,” katanya lagi.
Arieni juga percaya bahawa anak muda tidak harus takut untuk memulakan langkah walaupun dengan modal atau pengalaman yang terhad.
“Jangan tunggu semua sempurna. Saya pun mula dengan modal kecil dan pengalaman terhad. ‘Passion’ itu penting tetapi tak cukup, perlu ada konsistensi dan disiplin untuk bertahan.
"Mulakan langkah pertama dan belajar dari setiap cabaran, di situ letaknya kekuatan sebenar,” ujarnya memberi inspirasi.
Walaupun kini menguruskan perniagaan berskala besar, prinsip awal masih kekal sama iaitu kejujuran dan kualiti.
“Setiap kek mesti rasa sedap sama seperti hari pertama. Pelanggan mesti rasa dihargai. Itu yang buat orang percaya dan kembali lagi,” tekannya.