Skip to main content

Kesihatan/Kesejahteraan

Dari Penerbangan Ke Dunia Bayi, Datuk Kamarudin Meranun Pilih Misi Lebih Peribadi - "Saya Cuma Mahu ..."

milk

Sekilas

  • Datuk Kamarudin Meranun kini fokus pada jenama lampin bayi bebas bahan kimia, MILK, yang menekankan keselamatan kulit bayi dengan reka bentuk minimalis tanpa corak dan warna berlebihan.
  • MILK diuji terhadap 728 bahan kimia berpotensi berbahaya, bebas klorin dan pewangi, serta diperakui dermatologi untuk kulit sensitif, dan telah memasuki pasaran di 10 negara sejak pelancaran rasmi Januari lalu.
  • Strategi MILK menumpukan kepada pengembangan skala perniagaan berbanding keuntungan segera, dengan misi mendidik dan melindungi kesihatan kanak-kanak daripada pendedahan bahan kimia berbahaya.

Selepas dua dekad menerajui perubahan besar dalam industri penerbangan Asia, Datuk Kamarudin Meranun kini melangkah ke dunia yang jauh berbeza tetapi dekat di hatinya.

Bukan lagi tentang pesawat, kali ini fokusnya tertumpu pada sesuatu yang lebih kecil, lebih lembut dan lebih bermakna iaitu kulit bayi menerusi jenama lampin bebas bahan kimia,  MILK.

Menurut Datuk Kamarudin, keputusannya memasuki industri lampin bayi terbit menerusi kesedaran tentang banyaknya kajian kandungan kimia dalam lampin komersial yang berpotensi mengganggu kesihatan jangka panjang kanak-kanak.

“Ramai ibu bapa tidak menyedari betapa banyak bahan kimia digunakan dalam lampin komersial, dan kebanyakannya disebabkan warna dan corak yang menarik. Lagi banyak warna, lagi tinggi risiko bahan kimia,” katanya.

Bagi Kamarudin, lampin bukan sekadar produk. Ia adalah ‘kulit kedua’ bayi, dan jika bayi itu anak sendiri, cucu sendiri atau bayi sesiapa pun, ia tetap amanah untuk dijaga.

“Atas kesedaran inilah MILKTM memilih pendekatan minimalis dengan hanya dua warna iaitu putih dan biru serta tiada corak. Kesederhanaan itu bukan sekadar rekaan, tetapi satu komitmen terhadap keselamatan kulit bayi,” jelasnya.

Majlis pelancaran turut dihadiri pengasas bersama Datuk Wira Shahrul Nazri Abdul Rahim, Datuk Abdul Mutalib Alias, Datuk Sri Mohammed Shazalli Ramly, pengarah baharu Muhammad Asyraf Khalid dan CEO Mohamed Roslan Ismail, serta selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Izara Aishah, Diana Danielle, Nabila Razali dan Tasha Shila.

Nama MILK sendiri dipilih kerana makna simboliknya iaitu sesuatu yang suci, tulen dan bersih. Dengan falsafah itu, lampin mereka diuji terhadap 728 potensi bahan kimia, bebas klorin, bebas pewangi, tidak menggunakan pewarna karsinogenik dan diperakui dermatologi untuk kulit sensitif.

Walaupun baru dilancarkan secara rasmi pada 18 Januari lalu, MILK kini berada di 10 negara termasuk Malaysia, Vietnam, Kemboja, Taiwan, India, Maldives, Oman, Rusia dan Brunei. Jenama ini juga meraih tiga anugerah antarabangsa dalam tempoh singkat dan menerima maklum balas positif daripada pengguna.

“Setakat ini, tidak ada aduan. Kalau ada pun, stok cepat habis,” seloroh Kamarudin.

Seperti AirAsia yang bermula kecil sebelum meledah sebagai fenomena global, strategi Kamarudin untuk MILK juga berasaskan skala, bukan keuntungan segera.

“Orang lain kejar keuntungan. Saya kejar skala. Kalau nak bina perniagaan, pastikan ia boleh berkembang. Kami baru kurang setahun. Tak perlu bercakap tentang keuntungan lagi,” katanya.

Pendekatannya dalam industri bayi juga dipandu rasa tanggungjawab sebagai seorang bapa dan sebagai individu yang melihat keadaan kanak-kanak hari ini semakin terdedah kepada risiko kesihatan.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes kanser kanak-kanak dan percaya pendedahan harian kepada bahan kimia boleh menjadi salah satu faktor.

“Dunia semakin sedar tentang kesihatan dan keselamatan. Ini bukan soal lampin saja, tapi soal pendedahan jangka panjang. Sebab itu kami mahu mendidik dan melindungi,” ujarnya.

Must-Watch Video

Advertisement