Sekilas
- Islamic Fashion Festival (IFF) yang diasaskan oleh YBM Dato’ Sri Raja Rezza Shah kini menyambut ulang tahun ke-20 dengan tema ‘Peranakan The Golden Era’ yang mengangkat warisan budaya Peranakan serta elemen India dan Arab.
- Rezza Shah berkongsi perjalanan IFF yang bermula pada 2006 dengan fokus fesyen Islamik, menghadapi kritikan namun terus berkembang dengan identiti tersendiri dan pendekatan terbuka terhadap fesyen sopan.
- IFF Kuala Lumpur 2026 akan berlangsung selama tiga hari dari 21 hingga 23 November, menampilkan 30 pereka fesyen dari Malaysia dan Indonesia serta pelbagai persembahan hiburan.
Untuk berada pada satu tahap yang membanggakan malah menjadi pencetus kepada sesebuah era, semangat serta sikap perjuangan yang kuat menjadi pegangan pengasas Islamic Fashion Festival (IFF), YBM Dato’ Sri Raja Rezza Shah, Tengku Sri Kelana D’Raja.
Rezza Shah, 65, mengakui perjalanan festival fesyen berkenaan bukanlah mudah apabila pernah berdepan kritikan kerana rekaan yang dipersembahkan didakwa tidak cukup Islamik.
Namun selepas 20 tahun, Rezza Shah membuktikan kritikan bukan alasan untuk mengalah, sebaliknya menjadi sebahagian daripada perjalanan IFF dalam memperjuangkan fesyen sopan di pentas tempatan dan antarabangsa.
Berbicara lanjut mengenai liku-liku dua dekad IFF, ketika mula diperkenalkan pada 2006, festival yang memberikan fokus khusus kepada fesyen Islamik masih belum banyak dianjurkan, malah agak sukar untuk mendapatkan pereka fesyen yang berminat menyertai platform berkenaan.
Mengakui pernah dipersoalkan mengenai konsep pakaian yang dipersembahkan, Rezza Shah bagaimanapun mempunyai pendekatan tersendiri dalam membawa mesej fesyen sopan kepada masyarakat.
“Bagi saya, bukan semua orang sudah bersedia untuk menutup aurat sepenuhnya. Sebab itu, saya mengambil pendekatan yang paling mudah, bermula dengan sesuatu yang kecil.
“Saya melihatnya seperti huruf Alif. Apa yang penting, kita bermula dahulu dengan sesuatu yang mudah. Begitu juga dalam soal menutup aurat, kita tidak boleh mengharapkan semua orang berubah secara mendadak.
“Saya terima kritikan kerana mungkin ada yang belum memahami perjuangan yang cuba saya bawa menerusi IFF,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang media IFF Kuala Lumpur 2026 sempena ulang tahun ke-20 festival itu di Peranakan Place, Petaling Street, baru-baru ini.
Rezza Shah kemudian memanjangkan bicara terutama tentang rrahsia sesebuah acara untuk terus bertahan.
Menurut beliau, sesebuah acara bukan sekadar bergantung kepada kemeriahan penganjuran, sebaliknya perlu mempunyai identiti dan pengkhususan tersendiri.
Jelasnya, IFF yang bermula pada 2006 dibangunkan dengan identiti fesyen Islamik, namun pada masa sama perlu sentiasa terbuka terhadap perubahan mengikut perkembangan industri.
“Saya percaya apa juga acara atau penganjuran perlu mempunyai pengkhususan. Ketika saya memulakan IFF pada 2006, belum banyak festival yang memberikan tumpuan kepada fesyen Islamik, malah di peringkat dunia juga tidak banyak.
“Identiti itu perlu dikekalkan, tetapi kita juga mesti peka dengan perubahan. Sebab itu IFF mempunyai tema berbeza, lokasi penganjuran yang berubah dan pendekatan lebih terbuka dalam mempersembahkan fesyen sopan.
“Bagi saya, pendekatan menutup aurat juga mempunyai tahap yang berbeza, daripada minimum hingga maksimum, bergantung pada pegangan dan keimanan masing-masing,” jelas Rezza Shah.
Bukan calang-calang pencapaian, usaha yang dimulakan dua dekad lalu itu turut membuka peluang kepada Rezza Shah untuk berkongsi perjuangan IFF di peringkat antarabangsa.
Malah, beliau bersyukur apabila pernah dijemput ke Itali, Dubai dan forum ekonomi antarabangsa kira-kira 10 tahun lalu bagi memperkenalkan sumbangan IFF dalam mengangkat busana Islamik.
Terkini, sempena menyambut ulang tahun ke-20, dengan pelbagai tema telah diangkat dan dipersembahkan oleh meastro fesyen dan pereka baharu, IFF tampil dengan ‘Peranakan The Golden Era’ yang mengangkat keunikan warisan budaya Peranakan sebagai inspirasi utama.
Menariknya, tema itu bukan hanya tertumpu kepada pengaruh masyarakat Cina, sebaliknya turut membuka ruang kepada elemen budaya India dan Arab, meskipun identiti Baba dan Nyonya lebih sinonim dengan masyarakat Peranakan.
Bagaimanapun, Rezza Shah menyerahkan sepenuhnya kepada kreativiti pereka untuk menterjemahkan tema berkenaan menerusi koleksi masing-masing.
“Untuk tema ini, saya serahkan kepada pereka kerana saya memang mengamalkan konsep terbuka. Mereka bebas menghasilkan interpretasi sendiri.
“Peranakan bukan hanya berkaitan masyarakat Cina, malah ada juga pengaruh India dan Arab. Cuma, identiti Baba dan Nyonya lebih ketara apabila kita bercakap mengenai budaya Peranakan.
“Pereka boleh mengambil inspirasi daripada sulaman, permainan warna dan pelbagai elemen tradisional untuk diterjemahkan dalam rekaan mereka,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai evolusi kebaya yang kini hadir dalam pelbagai potongan mengikut cita rasa fesyen semasa berbanding rekaan tradisional yang lebih panjang.
Menurutnya, kebaya asal yang labuh hingga ke kaki lebih menepati pendekatan fesyen sopan yang ingin diketengahkan IFF.
Bakal berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 November ini, IFF Kuala Lumpur 2026 menghimpunkan 30 pereka fesyen dari Malaysia dan Indonesia termasuk Datuk Tom Abang, Saufi, Calvin Thoo, Abu, Rizman Ruzaini dan pendatang baharu, Bawal Exclusive.
Selain koleksi busana, pentas peragaan turut menampilkan rekaan barang kemas, tudung dan beg tangan, manakala pengisian hiburan membabitkan lapan penyanyi termasuk Zehra Zamri, seorang pemain biola serta dua kumpulan tarian.