Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas Pertunangan yang diikat hampir dua tahun berakhir hanya kerana status kelahirannya sebagai anak tidak sah taraf terbongkar kepada bakal ibu mentua.
Menurut wanita itu, sepanjang tempoh perkenalan dan pertunangan, hubungan bersama tunangnya itu berjalan dengan baik tanpa ada sebarang masalah besar.
“Dia memang tahu latar belakang hidup saya sejak awal, saya tak pernah menipu atau sorok apa-apa dan dia terima saya seadanya.
“Semasa mahu mengikat tali pertunangan juga dia sendiri yang menyakinkan saya bahawa semua akan baik-baik sahaja.
“Malah kami berdua juga telah mendapat restu keluarga kami untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.
Bagaimanapun, segalanya berubah selepas bakal ibu mentuanya mengetahui status sebenar kelahirannya.
Jelas wanita berkenaan, bakal ibu mentuanya mula memberikan kata-kata sinis malah memaksa tunangnya untuk melepaskan saya.
“Bakal ibu mentua saya mula berubah selepas dia dapat tahu, dia mula perli dan bagi kata-kata sinis. Salam pun tak pandang muka.
“Lebih sedih dia minta anaknya untuk lepaskan saya kerana takut status kelahirannya akan menjatuhkan maruah keluarga dan memberi kesan kepada keturunan mereka,” ujarnya.
Meskipun tidak mahu melepaskan namun lelaki tersebut tetap mengambil keputusan untuk melepaskan wanita tersebut.
“Dia minta masa tapi akhirnya dia pilih untuk lepaskan saya. Katanya dia tak sanggup melawan ibunya. Saya dilepaskan bukan kerana salah sendiri namun saya reda dengan apa yang terjadi,” ujarnya lagi.
Wanita itu menegaskan bahawa status kelahirannya bukan satu pilihan, malah dia membesar dengan penuh kekurangan dan berusaha keras untuk menjadi insan yang lebih baik.
Di akhir perkongsiannya, wanita tersebut berharap masyarakat dapat berhenti menghukum seseorang berdasarkan asal-usul yang bukan dalam kawalan mereka.