Pengiktirafan Langkawi sebagai pulau kedua terbaik dunia dalam senarai Top Islands: Reader’s Choice Awards 2025 membuktikan daya tarikannya masih kukuh di mata pelancong antarabangsa.
Pulau Langkawi diiktiraf sebagai pulau kedua terbaik dunia oleh portal pelancongan berprestij, Conde Nast Traveler dengan markah cemerlang 92.99 mengatasi Bali, Indonesia ataupun Phuket, Thailand.
Advertisement
Bagaimanapun, masih ada terus membandingkan Langkawi dengan Hatyai di media sosial, seolah-olah kedua-duanya berada di kategori sama.
Hakikatnya, Langkawi ialah pulau menawarkan pengalaman alam semula jadi, pantai dan suasana tenang, manakala Hatyai sebuah bandar daratan terkenal dengan pusat membeli-belah.
Justeru, perbandingan antara dua destinasi menarik itu sebenarnya tidak kena dan diibaratkan seperti menyamakan laut dengan jalan raya.
Tidak dinafikan, Hatyai lebih murah dalam sesetengah aspek, namun pandangan bahawa Langkawi mahal juga tidak sepenuhnya benar.
Banyak penginapan bajet, kedai makan harga berpatutan dan pakej mampu milik masih boleh ditemui jika pandai mencari.
Jangan hanya kerana satu, dua tempat mengenakan harga tinggi, terus dijatuhkan hukum bahawa seluruh Langkawi mahal.
Sebaliknya, kita wajar melihat pengiktirafan itu sebagai peluang untuk memperkukuh imej pelancongan Kedah bersempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).
Momentum terbabit perlu dimanfaatkan oleh kerajaan negeri dan pengusaha tempatan bagi menarik lebih ramai pelancong, bukan sahaja ke Langkawi, tetapi ke seluruh negeri Kedah.
Ia kerana Kedah bukan hanya ada Langkawi sahaja, sebaliknya banyak lagi tempat menarik seperti produk pelancongan sejarah seperti Lembah Bujang sehinggalah keindahan panorama Gunung Jerai.
Kerajaan negeri bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) boleh mempertingkat promosi digital, menambah baik pengangkutan dan memperluas penerbangan antarabangsa.
Pada masa sama, peniaga dan pengusaha perlu menjaga imej dengan menyediakan harga wajar, layanan mesra, dan kebersihan destinasi jadi kunci utama mengekalkan reputasi bukan hanya Pulau Langkawi, tetapi seluruh negeri Jelapang Padi.
Langkawi sudah pun berada di radar dunia, maka tugas kini ialah memastikan keindahan, keramahan dan nilai tempatan terus memikat hati pelancong.
Jika Hatyai boleh gah sebagai bandar beli-belah, Langkawi punya kelebihan sebagai pulau legenda iaitu tempat orang datang bukan sekadar melancong, tetapi mencari ketenangan dan pengalaman yang tiada bandingannya.
Sumbet: Sinar Harian