Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju serantau dalam pembangunan bandar pintar apabila empat kerjasama strategik diumumkan sempena Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) yang berlangsung di ibu negara.
Menteri Digital, Gobind Deo Singh hadir menyaksikan majlis pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Kolaborasi di Future Citizen Stage yang menghimpunkan pemimpin bandar, inovator global serta institusi tempatan.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam membina bandar berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan 5G yang menekankan prinsip human-centred atau berteraskan manusia.
Advertisement
Salah satu kerjasama yang dimeterai adalah antara Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson bagi melaksanakan 21st Century Technologies Education Programme, iaitu program latihan empat jam untuk meningkatkan kemahiran penjawat awam termasuk pihak berkuasa tempatan dalam bidang AI, 5G dan Internet of Things (IoT).
DNB turut menandatangani Surat Kolaborasi dengan Amazon Web Services (AWS) untuk membangunkan platform Bandar AI nasional berasaskan infrastruktur awan, machine learning dan analitik data.
Selain itu, satu lagi perjanjian penting menyaksikan DNB, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pertubuhan Bandar Mampan & Pintar Malaysia (MSCA) bergabung tenaga membangunkan kerangka serta piawaian Bandar AI di Malaysia, meliputi integrasi teknologi dalam sistem mobiliti, perkhidmatan digital rakyat dan penyelesaian lestari.
MDEC turut menandatangani MoU bersama Dell Technologies’ AI Innovation Hub bagi menubuhkan testbed ramalan iklim berasaskan AI di Zon Warisan Dunia UNESCO, Pulau Pinang.
Projek tersebut bertujuan melindungi warisan budaya sambil memperkukuh daya tahan alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai asas kepada Malaysia yang bersedia untuk masa depan, dengan gabungan kepakaran global dan tempatan bakal melahirkan ekosistem digital inklusif serta sektor awam berkemahiran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil menegaskan bahawa jika berpaksikan kepada prinsip human-centred, AI mampu menjadi kuasa kebaikan, dan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi tetapi turut membentuknya secara bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat.
Pengerusi MSCA, Ts. Dr. Raslan Ahmad pula menyatakan kolaborasi tersebut adalah komitmen untuk mengubah cara hidup rakyat Malaysia, menjadikan komuniti lebih selamat serta kehidupan seharian lebih mudah dengan sokongan AI dan 5G.
Manakala Pengarah Urusan Dell Technologies Malaysia & Indonesia, Sumash Singh menekankan bahawa Malaysia kini tidak lagi sekadar pemerhati, tetapi muncul sebagai peneraju serantau dalam membina bandar pintar inklusif yang bersedia untuk masa depan.
Pengumuman ini mengukuhkan lagi peranan SCEKL25 sebagai platform global pertama di ASEAN yang khusus memberi tumpuan kepada bandar pintar berasaskan AI, serta memperlihatkan kesungguhan Malaysia untuk memimpin transformasi digital yang inklusif dan lestari.