Jenama fesyen baharu, Nafesa dilancarkan secara rasmi membawa kisah penuh emosi tentang kasih seorang anak terhadap ibunya.
Diasaskan oleh Said Saiful Fazli Said Aluwi, Nafesa bukan sekadar jenama tudung ia adalah simbol penghargaan seorang anak tunggal kepada ibu yang membesarkan dan menyokongnya tanpa henti.
Menurut Said Saiful, ilham melahirkan jenama ini hadir ketika dia berada di Arafah sewaktu menunaikan ibadah haji pada bulan Jun lalu.
Dalam detik penuh makna itu, ingatannya tertuju kepada segala pengorbanan ibunya, Naveesof, yang menjadi tunjang hidupnya sejak kecil.
“Saya terdetik untuk lakukan sesuatu untuk ibu. Beliau membesarkan saya seorang diri… she is everything. Dan ini adalah brand yang kita dedikasi khas untuk ibu,” katanya.
Nafesa mengambil nama yang diinspirasikan daripada nama ibunya, melambangkan kelembutan, ketabahan dan kekuatan seorang wanita.
Selepas pulang dari haji, idea ini terus dikembangkan dengan serius bermula September, sehingga proses menghasilkan koleksi pertama berjaya disiapkan dalam tempoh yang singkat.
Walaupun baru, projek ini berjalan pantas bermula daripada mencari kilang, mengupah pereka, hinggalah ke proses menghasilkan koleksi pertama yang kini dilancarkan.
Koleksi sulung Nafesa, The Alhambra Monogram diinspirasikan daripada seni bina megah Istana Alhambra di Granada. Coraknya melambangkan kemewahan, seni Islam yang halus, serta simbol seorang wanita yang anggun namun penuh kekuatan.
Koleksi ini menampilkan lima rekaan premium menggunakan fabrik satin berkualiti tinggi, ringan, lembut, tidak panas, mudah dibentuk dan selesa dipakai. Ia juga hadir dengan packaging eksklusif, sesuai dijadikan hadiah.
Pemilihan legenda seni, Noor Kumalasari, sebagai Nafesa Première Showcase Muse pula mengangkat nilai warisan, elegan dan ketimuran melalui persona beliau yang ikonik.