Skip to main content

Viral

Netizen Dakwa Festival Makanan Makin Sendu, Umpama 'Pasar Malam T20'? Havoc Food Festival Nafi Vendor Letak Harga Cekik Darah! - "Kami Seru PBT Tapis Dulu ..."

havoc_harga

Sekilas

  • Havoc Food Festival nafi dakwaan harga makanan mahal dan tekankan misi bantu usahawan jana pendapatan sejak tujuh tahun lalu.
  • Penganjur jelaskan kos tersembunyi seperti sewaan tapak dan permit yang meningkat menyebabkan harga festival naik, bukan harga makanan itu sendiri.
  • Festival akan terus diadakan dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk Selangor Havoc Raya Fest 2.0 pada Mac 2026 di Setia Alam.

Isu festival makanan yang didakwa semakin sendu berbanding sebelum ini terus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen apabila ada yang mengaitkan keadaan itu dengan harga makanan yang dianggap tidak masuk akal.

Malah, terdapat dakwaan mengatakan festival makanan kini umpama ‘pasar malam T20’ apabila harga jualan semakin mahal dan tidak lagi mesra pengguna.

Susulan itu, penganjur terkenal, Havoc Food Festival menafikan isu yang diperdebatkan berlaku di acara anjurannya, termasuk wujud wujud vendor mengenakan harga makanan terlalu tinggi.

Pelakon dan penerbit yang kini bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Festival, Datuk Firdaus Nadxaman berkata prinsip utama Havoc Food Festival dibangunkan sejak tujuh tahun lalu adalah membantu usahawan menjana pendapatan dan misi itu diteruskan sehingga hari ini.

“Alhamdulillah kami ambil maklum isu sensitif yang berlaku dalam perniagaan festival makanan. Dulu masa kami mula aktif dalam bisnes ini sekitar tujuh tahun lalu hanya ada beberapa penganjur acara (EO) saja dan kami boleh dikatakan antara pelopor utama yang menggerakkan industri festival makanan ini.

“Sehingga hari ini prinsip utama kami nak membantu usahawan menjana pendapatan. Bagaimanapun isu terbaharu yang berlaku hari ini apabila ada mendakwa festival makanan umpama ‘pasar malam T20’ kerana harganya yang mahal.

“Jujur memang ada penganjur acara yang datang mengaku sendiri yang benchmark mereka adalah Havoc Food Festival dan perkara ini agak membimbangkan. Jadi saya bincang dengan rakan kongsi untuk sentiasa buat kelainan,” katanya.

Firdaus menjelaskan, sebagai penganjur acara, banyak kos tersembunyi perlu ditanggung termasuk sewaan tapak, permit serta logistik, terutama apabila festival diadakan secara jelajah ke seluruh negara.

“Kami sebagai EO takkan nak dedahkan kos yang mana netizen tak tahu dan boleh dikatakan setiap lima bulan kami selalu tour satu Malaysia dan kebanyakan kami ulang tempat yang sama.

“Setiap kali kami jelajah harga tapak dan permit akan naik. Jadi kami faham situasi ini dan kenaikan ini pernah mencecah hampir 60 peratus untuk pihak kami bayar.

“Saya boleh katakan untuk dapat kelulusan permit berniaga saja kami perlu bayar puluhan ribu. Sebenarnya tiada istilah harga barangan naik sebab EO naikkan sewa tapak sedangkan sebab kami sendiri mengawal harga makanan kepada semua usahawan yang terlibat,” katanya.

Selain itu, Havoc turut menyediakan pelbagai aktiviti percuma sepanjang acara termasuk persembahan penyanyi terkenal bagi memastikan festival kekal menarik kepada pengunjung.

Dalam pada itu, Firdaus mendedahkan wujud penganjur acara yang mengambil kesempatan sehingga menjejaskan kepercayaan usahawan.

“Ramai juga penganjur acara yang ‘scam’ usahawan. Kadang-kadang penganjur acara yang baru ini mereka fikir buat acara seperti ini dapat memberi pulangan lumayan selepas mengenakan caj tertentu kepada vendor sedangkan tidak sama sekali.

“Hakikatnya banyak lagi kos yang perlu dikeluarkan apabila nak buat acara seperti ini. Satu lagi orang yang baru nak masuk dalam dunia ini mereka hanya fikirkan duit, bukan fikir tentang pulangan jualan vendor yang sudah menaruh kepercayaan kepada penganjur.

“Jujur ramai saja vendor yang berhutang dengan kami dan angkanya mencecah jutaan ringgit, tapi kami tetap beri peluang untuk mereka berniaga sehingga mereka berjaya kerana di Havoc kami sentiasa memberi motivasi dan brainstorm untuk menambah baik bisnes mereka supaya lebih dikenali dan misi kami daripada awal pun memang nak tolong mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Havoc Festival, Faizul Mohd Yusof, berpandangan lambakan festival makanan turut menyumbang kepada isu berkenaan.

“Sekarang ini terlalu ramai penganjur melakukan acara festival makanan. Jadi saya menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tapis terlebih dahulu syarikat pengurusan acara yang betul-betul kualiti sebelum memberi mereka ruang untuk menjayakan acara festival makanan seperti Havoc,” katanya.

Faizul menambah, walaupun pihak penganjur tidak mempunyai kuasa menghalang penganjuran acara lain, peranan pihak berkuasa amat penting bagi mengawal lambakan festival makanan.

“Pihak kami memang tiada kuasa untuk tidak membenarkan sesiapa buat karnival, tetapi yang boleh membantu benda ini supaya tidak wujud lambakan food festival adalah PBT” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya bakal mengadakan Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 yang akan berlangsung selama 96 jam tanpa henti dari 12 hingga 16 Mac 2026 di Hall 1 & 2, Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam.

Penganjuran edisi kedua ini turut mendapat sokongan dan kerjasama Pejabat Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, selaras dengan aspirasi memperkasa usahawan tempatan serta merancakkan ekonomi komuniti negeri.

Sebagai antara tarikan utama, pihak penganjur turut mengumumkan barisan pengacara rasmi yang terdiri daripada Fad Bocey, Sharif Zero, Danial Zaini, serta gandingan Epul dan Talam.

Must-Watch Video

Advertisement