Skyline Luge Kuala Lumpur terus memperkukuh kedudukannya sebagai tarikan aktiviti lasak apabila secara rasmi melancarkan Skyline Hyfly, zipline berkembar pertama seumpamanya di Asia.
Majlis pelancaran yang berlangsung meriah itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Mike Walsh, bersama beberapa tetamu kehormat termasuk Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Dato’ Sivasuriyamoorthy Sundara Raja, dan Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Chan Hon Mun.
Advertisement
Skyline Hyfly diperkenalkan sebagai tarikan baharu di kawasan tumpuan pelancongan itu, dengan matlamat memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi aktiviti rekreasi dan pengembaraan di rantau ini.
Menurut Mike Walsh, projek berkenaan mencerminkan hubungan erat antara New Zealand dan Malaysia dalam membangunkan sektor pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Amat mengujakan melihat sebuah syarikat dari New Zealand menyumbang kepada reputasi Malaysia sebagai destinasi inovasi dan pengembaraan,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Sivasuriyamoorthy menyifatkan pembukaan Hyfly sebagai bukti peningkatan minat pelabur terhadap potensi pelancongan Malaysia.
“Ia mencerminkan pelaburan berkualiti yang memperkayakan landskap pelancongan negara serta meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa,” katanya.
Pengurus Besar Skyline Luge Kuala Lumpur, Logan Chandler berkata pihaknya berharap kehadiran Hyfly dapat memberi pengalaman baharu kepada pengunjung tempatan dan luar negara.
“Kami mahu pengunjung merasai pengalaman pengembaraan yang menyeronokkan, selamat dan sesuai dinikmati bersama keluarga serta rakan,” katanya.
Sejak dibuka pada Disember 2023, Skyline Luge Kuala Lumpur dilaporkan telah mencatat lebih dua juta tunggangan. Dengan pelancaran Skyline Hyfly, kawasan itu kini menawarkan gabungan aktiviti lasak menunggang trek Luge dan meluncur di udara, yang dijangka menjadi antara tarikan pelancongan utama menjelang Tahun Melawat Selangor 2025.