Radio ZAYAN dengan penuh rasa syukur dan bangga diumumkan sebagai radio rasmi bagi Karnival Mahabbah@RMA Johor Bahru, yang bakal berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025 bertempat di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.
Karnival ini merupakan inisiatif bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Waqaf An-Nur, dengan objektif memperkukuh hubungan silaturrahim serta menyemarakkan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai aktiviti berunsur kerohanian, keilmuan dan kekeluargaan.
Advertisement
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung bakal dihiburkan dengan pelbagai program menarik termasuk siaran luar ZAYAN, Malam Gemilang Waqaf An-Nur X Radio ZAYAN, serta Malam Sambutan 25 Tahun Waqaf An-Nur yang akan menampilkan persembahan istimewa dan perkongsian inspirasi daripada tokoh-tokoh jemputan.
Barisan penyampai popular ZAYAN seperti Faisal Ismail, Anas Tahir, Lin Ariffin dan Farhira turut akan berada di lokasi bagi berinteraksi dengan pendengar serta menyampaikan siaran secara langsung dari tapak karnival.
Menurut Pengurus Jenama ZAYAN, Wan Syahrul Amry Wan Mansor, penglibatan ZAYAN dalam acara berskala besar seperti ini menjadi bukti komitmen stesen tersebut dalam mendekati komuniti dan memperkukuh identiti sebagai radio gaya hidup Muslim kontemporari.
“Kami di ZAYAN amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada Karnival Mahabbah@RMA Johor Bahru. Penyertaan ini amat bermakna kerana ia bukan sekadar kolaborasi media, tetapi usaha bersama untuk menghubungkan hati manusia melalui nilai kasih sayang, kebaikan dan kemanusiaan asas kepada dakwah dan pembangunan ummah,” katanya.
Tambahnya lagi, karnival ini menjadi wadah terbaik untuk ZAYAN menyebarkan mesej positif, memperkukuh semangat kebersamaan, dan mendekatkan diri dengan masyarakat, khususnya pendengar di negeri Johor dan kawasan sekitarnya.
“Kami juga berharap kehadiran barisan penyampai ZAYAN akan membawa suasana ceria, inspirasi serta nilai ukhuwwah yang sejajar dengan semangat ‘Mahabbah’ yang menjadi tema utama karnival ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ketua Eksekutif Waqaf An-Nur, Tuan Haji Bukhari Abd Rahman, turut merakamkan penghargaan kepada ZAYAN atas sokongan sebagai rakan media rasmi bagi karnival kali ini.
“Kerjasama ini diharap bukan sahaja dapat memperkukuh usaha mempromosikan jenama Waqaf An-Nur, tetapi turut menjadi platform memperluas kefahaman serta membudayakan amalan berwakaf dalam kalangan masyarakat,” katanya.
ZAYAN mengalu-alukan kehadiran seluruh warga Johor dan kawasan berdekatan untuk bersama-sama memeriahkan Karnival Mahabbah@RMA Johor Bahru 2025.
Pelbagai aktiviti menarik, hadiah istimewa serta peluang beramah mesra bersama penyampai ZAYAN menanti para pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti sepanjang karnival, orang ramai boleh melayari laman media sosial rasmi ZAYAN dan memuat turun aplikasi ZAYAN di Google Play, App Store dan Huawei App Gallery.