Anggota kumpulan K-Pop terkenal dunia, BTS Jungkook baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 24.

Jungkook meluangkan masa hampir tiga jam membuat siaran langsung sempena hari jadinya menerusi aplikasi VLIVE semalam.

Lebih manis lagi menerusi siaran langsung itu Jungkook juga telah menghadiahkan sebuah lagu khas buat peminat tersayang.

Apa yang menariknya, kali ini Jungkook membuat lagu dengan memilih lirik yang diberikan Army menerusi aplikasi di Weverse.

Jungkook kemudiannya menghasilkan lagu istimewa itu secara langsung termasuklah dari segi lirik, nyanyian dan juga susunan melodi sambil disaksikan oleh berjuta Army.

Sewaktu memilih lirik menerusi ruangan komen, Jungkook juga memuji dan mengagumi kemahiran penulisan para peminatnya sambil tersenyum.

Dalam sesi siaran langsung itu juga, Jungkook turut menjelaskan beberapa fungsi dan teknik berkaitan dengan muzik semasa merakamkan bahagian vokal untuk lagu tersebut.

Akhirnya lagu tersebut telah pun disiapkan beberapa minit sebelum tibanya detik 12 malam.

Jungkook kemudiannya menyatakan lagu tersebut merupakan hadiah hari jadinya kepada Army.

Tidak hanya lagu, Jungkook juga menghadiahkan konsert kecil di dalam studionya dengan menyanyikan beberapa buah lagu permintaan peminat antaranya Paradise, Mic Drop, Dimple, Pied Piper, Let Go, 2! 3!, Spring Day dan Film Out.

Nama Jungkook menjadi trending di Twitter dengan kata kunci #HappyBirthdayJK, #VoiceOfHeavenJK, #GoldenArtistJKDay, #LightInOurDarkJK dan beberapa lagi.

Secara keseluruhannya, lebih 20 juta Army telah menemani Jungkook untuk menyambut ulang tahun kelahirannya pada tanggal 1 September 2021.

Gempak Chingu juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari jadi kepada Hwanggeum Maknae of BTS, Jungkook.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU