Pasangan pelakon Korea terkenal, Son Ye Jin dan Hyun Bin bakal menimang cahaya mata pertama mereka.

Berita gembira itu diumumkan Ye Jin menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagramnya hari ini.

“Apa khabar semua? Saya baik-baik sahaja. Saya ingin berkongsi berita gembira dengan anda semua secara berhati-hati.

“Kami sedang menantikan kedatangan orang baharu dalam keluarga kami. Secara jujurnya saya masih lagi bingung.

“Saya merasakan ada perubahan pada badan setiap hari tetapi dalam masa yang sama rasa bimbang dan teruja,” coretnya.

A post shared by 손예진 (@yejinhand)



Ye Jin bagaimanapun menjelaskan dia mempunyai sebab tidak mengumumkan berita itu lebih awal.

“Saya berasa sangat bersyukur, tetapi saya juga perlu berjaga-jaga jadi saya tidak memberitahu berita ini kepada sesiapa pun.

“Jadi sebelum terlambat, saya ingin berkongsi berita gembira ini bersama peminat dan juga kenalan yang lama sudah menantikan kehamilan ini sama seperti kami.

“Kami akan melindungi nyawa berharga yang dikurniakan kepada kami. Saya harap anda semua kekal sihat, dan hargai orang yang tersayang. Saya doakan anda semua bahagia,” tulisnya.

Terdahulu, Ye Jin dan Hyun Bin melangsungkan perkahwinan mereka pada Mac tahun ini.