Sekilas
- Shaza Bae mengakui pernah mengalami banyak penolakan dalam karier seni, namun dia percaya penolakan itu adalah satu bentuk redirection dan rezeki mungkin datang dari tempat lain.
- Dia menenangkan hati dengan yakin bahawa setiap rezeki adalah ketentuan Tuhan dan tidak semua peluang yang diinginkan akan menjadi miliknya.
- Shaza gembira dapat berkongsi pengalaman dalam bidang seni bersama pelajar di program Gempakkan Kampus di UniKL Mitec, sambil menekankan pentingnya pendidikan dan ilmu pengetahuan.
Pelakon, Shaza Bae mengakui pernah berdepan pelbagai penolakan sepanjang perjalanan kariernya dalam industri seni.
Menurut Shaza, sebagai manusia pastinya dia mempunyai rasa kecewa apabila tawaran untuk menjayakan drama mahupun program tertentu akhirnya diberikan kepada individu lain.
“Saya rasa saya berdepan banyak penolakan, tetapi seperti yang saya katakan tadi, rejection is also a form of redirection.
“Jadi, sentiasalah positif dan percaya bahawa kadangkala rezeki kita bukan di sini, tetapi mungkin di tempat lain.
“Saya tidak akan kata penolakan itu membuatkan saya terlalu kecewa, tetapi memang banyak pengalaman sebegitu.
“Kita dipanggil untuk menjayakan drama A atau drama B, tetapi akhirnya bukan rezeki saya dan orang lain pula yang mendapat peluang itu. Begitu juga apabila dipanggil untuk menyertai program tertentu, tiba-tiba tidak berjaya,” katanya.
Shaza berkata demikian ketika ditemui di majlis Program Santun Pelajar dan Gempakkan Kampus di UniKL Mitec, Melaka.
Tambah Shaza, ada kalanya situasi tersebut membuatkan seseorang tertanya-tanya sama ada dirinya tidak cukup bagus untuk sesuatu peluang yang diinginkan.
Namun, dia memilih untuk menenangkan hati dengan mengingatkan diri bahawa setiap perkara berlaku atas ketentuan Tuhan dan mungkin ada perancangan lebih baik menantinya.
“Kadangkala kita rasa seperti, ‘Oh, mungkin saya tidak cukup bagus untuk rancangan atau siri itu’, tetapi sebenarnya bukan rezeki saya.
“Saya rasa sebagai seorang Muslim, kita kena percaya bahawa kadangkala rezeki kita bukan di satu tempat itu.
“Cara saya menenangkan hati dan kekal positif apabila berdepan penolakan adalah dengan sentiasa percaya kepada rezeki Tuhan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Shaza turut meluahkan rasa gembira apabila diberi peluang menjadi sebahagian daripada program Gempakkan Kampus.
Katanya, dia sangat berbesar hati dapat berkongsi pengalamannya dalam bidang seni kepada pelajar-pelajar yang hadir ke program tersebut.
“Saya sangat gembira dapat menjadi sebahagian daripada program ini kerana sejak dahulu lagi saya memang percaya dan sentiasa menyokong kepentingan pendidikan.
“Bagi saya, pendidikan sangat penting tidak kira dalam apa jua bidang kerana ilmu itu tidak akan pernah habis. Jadi, kita perlu sentiasa mengisi diri dengan ilmu pengetahuan.
“Saya juga gembira melihat reaksi pelajar yang sangat aktif memberikan maklum balas. Seronok dapat berkongsi sedikit sebanyak perkara yang saya tahu dengan mereka,” katanya.
Selain Shaza, turut hadir memeriahkan program Gempakkan Kampus ialah Dai Fuad, Iddin Ramli, Dr. Azren, Amir Masdi dan Sharul Kamal untuk segmen Gempak Jammed Session.
UniKL Micet menjadi lokasi kedua Gempakkan Kampus selepas menjelajah ke Universiti Putra Malaysia (UPM).