Skip to main content
Advertisement

Giveaway

LaLaLa Festival 2026 Cipta Sejarah, Bakal Berlangsung Di Jakarta & Manila Buat Pertama Kali

LaLaLa Festival 2026 Cipta Sejarah, Bakal Berlangsung Di Jakarta & Manila Buat Pertama Kali
Advertisement

JAKARTA, 7 Ogos 2026 – Tahun 2026 membuka lembaran baharu buat LaLaLa Festival apabila acara muzik berkenaan bakal dianjurkan di dua bandar buat pertama kali iaitu Jakarta, Indonesia dan Manila, Filipina.

Perkembangan tersebut menjadi sebahagian daripada usaha LaLaLa Festival untuk mendekati lebih ramai peminat muzik di rantau Asia, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara festival muzik terbesar dan berpengaruh di Asia Tenggara.

Bagi edisi Indonesia, LaLaLa Festival 2026 bakal berlangsung pada 22 dan 23 Ogos 2026 bertempat di Jakarta International Expo (JIEXPO), Kemayoran.

Sepanjang dua hari penganjuran, festival berkenaan bakal menghimpunkan gabungan pemuzik antarabangsa dan tempatan menerusi sebuah pengalaman yang menggabungkan muzik serta seni yang menjadi identiti LaLaLa Festival.

Empat Pentas Dengan Produksi Lebih Megah

Dalam sidang media yang berlangsung hari ini, pengasas LaLaLa Festival, Carmel Puma berkongsi beberapa pembaharuan yang bakal diperkenalkan menerusi edisi 2026.

Antara perubahan utama ialah penyediaan empat pentas dengan rekaan berbeza, selain produksi yang dijanjikan lebih besar dan megah berbanding edisi terdahulu.

Pembaharuan tersebut turut mengambil kira maklum balas pengunjung yang menjadi antara pertimbangan utama pihak penganjur dalam mengembangkan pengalaman LaLaLa Festival dari tahun ke tahun.

Dengan empat pentas tersedia, pengunjung mempunyai lebih banyak pilihan untuk menyaksikan persembahan pelbagai pemuzik sepanjang festival berlangsung.

Tahun ini, LaLaLa Festival turut memperkukuhkan penganjurannya menerusi kerjasama dengan ICE (Indonesia Convention Exhibition) BSD dan PK Entertainment.

Kerjasama itu merangkumi pelbagai aspek termasuk pengurusan artis, produksi, operasi serta pembangunan pengalaman pengunjung dengan memberi penekanan kepada keselesaan dan perjalanan keseluruhan festival.

Rex Orange County, Steve Lacy, HONNE Antara Nama Besar Bakal Beraksi

LaLaLa Festival 2026 bakal membawakan barisan pemuzik antarabangsa yang sudah lama dinantikan peminat muzik di Indonesia.

Antara nama yang bakal membuat persembahan ialah Rex Orange County, Steve Lacy, HONNE, Two Door Cinema Club, The Flaming Lips, Kodaline, Dermot Kennedy (Solo), FLO, Jordan Rakei, Matt Maltese, Astrid S dan Summer Salt, selain puluhan artis lain.

Seperti edisi terdahulu, LaLaLa Festival turut meneruskan tradisi menampilkan special set pada setiap hari penganjuran sebagai salah satu identiti festival berkenaan.

Rex Orange County bakal hadir menerusi persembahan istimewa Asia Exclusive, manakala Kodaline pula akan membawakan persembahan perpisahan atau farewell show mereka ke pentas LaLaLa Festival.

Steve Lacy, HONNE, Two Door Cinema Club dan FLO turut bakal memberikan warna muzik berbeza sepanjang festival, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengunjung untuk menikmati persembahan artis kegemaran masing-masing.

Bukan Nama Besar Sahaja, Bakat Baharu Turut Diberi Ruang

Menariknya, barisan artis LaLaLa Festival 2026 bukan hanya dipenuhi nama-nama yang sudah dikenali ramai.

Festival itu turut mengetengahkan beberapa bakat baharu dari pelbagai negara, termasuk Perancis, Taiwan dan Ukraine.

Justeru, selain berpeluang menyaksikan pemuzik yang sudah lama dinantikan, pengunjung juga boleh menemui artis dan muzik baharu dari pelbagai pelosok dunia.

Mengulas mengenai perkembangan LaLaLa Festival yang kini diperluaskan ke dua negara, Carmel berkata perancangan tersebut sebenarnya sudah diumumkan sejak tahun lalu.

“Ketika sidang media tahun lalu, kami pernah memberitahu bahawa pada 2026 LaLaLa Festival akan hadir di dua negara.

“Ketika itu, masih banyak perkara yang perlu kami persiapkan dan perjalanan untuk sampai ke tahap ini juga agak panjang.

“Sekarang, kami gembira kerana akhirnya dapat merealisasikannya dengan hadir di Jakarta dan Manila.

“Bagi kami, ini merupakan langkah baharu buat LaLaLa, selain peluang untuk bertemu lebih ramai pemuzik dan penonton dari dua bandar yang mempunyai karakter serta tenaga tersendiri,” katanya.

Instalasi Ikonik LaLaLa Festival Kembali

Selain muzik, LaLaLa Festival 2026 sekali lagi membawakan pelbagai instalasi yang sudah menjadi sebahagian daripada identiti dan suasana festival berkenaan.

Beberapa elemen daripada edisi terdahulu akan kembali dengan penampilan yang diperbaharui termasuk pintu masuk utama, instalasi seni, kawasan bunga dan gelongsor interaktif.

Terowong masuk atau entrance tunnel yang menjadi sebahagian daripada pengalaman pengunjung sebaik sahaja memasuki kawasan festival turut dikekalkan, namun hadir dengan rekaan berbeza berbanding tahun sebelumnya.

Gabungan elemen muzik, seni dan visual tersebut menjadi antara ciri utama yang membezakan pengalaman LaLaLa Festival daripada festival muzik lain.

Bank Mandiri Kembali Sebagai Rakan Perbankan Rasmi

Dalam pada itu, Bank Mandiri kembali sebagai rakan perbankan rasmi LaLaLa Festival 2026.

Tahun ini, pelanggan Bank Mandiri turut diberikan peluang membeli tiket LaLaLa Festival lebih awal menerusi Livin’ Sukha dalam aplikasi Livin’ by Mandiri.

Akses istimewa tersebut merupakan salah satu bentuk penghargaan Bank Mandiri kepada pelanggannya, selain menjadi sebahagian daripada sokongan institusi berkenaan terhadap perkembangan ekosistem industri kreatif.

LaLaLa Festival Sahkan Kembali Pada 2027

Perjalanan LaLaLa Festival juga tidak akan terhenti selepas penganjuran tahun ini apabila pihak penganjur mengesahkan festival berkenaan bakal kembali pada 2027.

Pengumuman itu dibuat ketika persiapan menuju LaLaLa Festival 2026 sedang berlangsung, sekali gus meneruskan perjalanan festival yang telah dibina bersama peminat muzik sejak beberapa tahun lalu.

Butiran lanjut mengenai tarikh, lokasi, barisan artis dan pengisian LaLaLa Festival 2027 akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi saluran rasmi festival.

Sementara itu, sambutan terhadap LaLaLa Festival 2026 terus meningkat menjelang penganjurannya pada 22 dan 23 Ogos ini.

Dengan gabungan pemuzik antarabangsa dan tempatan, persembahan eksklusif serta pengalaman festival yang menggabungkan muzik dan seni, LaLaLa Festival 2026 bersedia menjadi antara acara muzik yang paling dinantikan tahun ini.

Festival berkenaan bukan sahaja menawarkan peluang untuk menyaksikan artis kegemaran secara langsung, malah memberi ruang kepada pengunjung menemui pemuzik, karya dan pengalaman baharu dari pelbagai negara.

Maklumat terkini mengenai barisan artis, jadual, tiket dan perkembangan LaLaLa Festival boleh didapati menerusi Instagram rasmi @lalala.fest serta laman rasmi LaLaLa Festival.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Paris Saint-Germain Bucket Hat

Nike Paris Saint-Germain Bucket Hat

Puma Men's Box Out Short Sleeve Basketball Tee 1 (Black) 53648701

Puma Men's Box Out Short Sleeve Basketball Tee 1 (Black) 53648701

Stoned World Cup Series : Germany

Stoned World Cup Series : Germany

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB585

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB585

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY BACKPACK Unisex Blue KA9881

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY BACKPACK Unisex Blue KA9881

Must Watch Video

Advertisement