Sekilas
- Yana Samsudin kembali ke lokasi permulaan kariernya di Metrowealth (MIG) lima hari selepas pemergian bapanya walaupun keputusan itu sangat berat baginya.
- Dia berkongsi pengalaman awal dalam industri seni yang bermula sejak usia 17 tahun, termasuk pelbagai peranan sebelum dikenali sebagai pelakon.
- Yana menghargai penerbit David Teo dan Madam Jane yang dianggap seperti keluarga, serta mengenang pengorbanan bapanya yang sentiasa menyokong impiannya.
Pelakon, Yana Samsudin mengakui kembali ke lokasi yang menjadi titik permulaan perjalanan seninya selepas ima hari selepas pemergian bapa tercinta bukan satu keputusan yang mudah.
Bagaimanapun, menurut Yana, dia tetap menguatkan hati untuk meneruskan kerjaya demi mencari rezeki dengan keizinan Allah serta restu daripada suaminya.
"Ini langkah yang paling berat… tetapi tetap perlu diteruskan. Lima hari selepas abah pergi menghadap Ilahi, saya kembali menjejakkan kaki ke tempat yang banyak membentuk perjalanan hidup saya, Metrowealth (MIG),"
"Sejujurnya, keputusan untuk kembali berlakon kali ini bukan sesuatu yang mudah. Hati masih sangat berat. Namun dengan izin Allah dan restu suami, saya kuatkan diri untuk menerima rezeki ini," katanya.
Yana turut mengimbau perjalanan awal kariernya yang bermula bersama Metrowealth (MIG) ketika usianya baru mencecah 17 tahun.
Katanya, ramai hanya mengenalinya sebagai pelakon, namun tidak mengetahui bahawa dia pernah memegang pelbagai peranan di syarikat produksi itu sebelum dikenali sebagai anak seni.
"Di sinilah saya belajar menjadi penyanyi, editor audio visual, pembantu pengarah, pengarah filem dan akhirnya pelakon. Lebih 11 tahun bersama mereka, terlalu banyak kenangan yang tersimpan," kongsinya.
Dalam pada itu, Yana menyifatkan penerbit David Teo dan Madam Jane bukan sekadar individu yang memberinya peluang dalam industri, malah sudah dianggap seperti keluarga sendiri ketika berada di Kuala Lumpur.
Lebih menyentuh hati, Yana mendedahkan arwah bapanya pernah menitipkan pesanan khas kepada pasangan penerbit berkenaan supaya sentiasa menjaga dan mengambil berat tentang dirinya.
"David Teo dan Madam Jane bukan sekadar penerbit buat saya. Mereka sudah seperti keluarga di Kuala Lumpur.
"Malah arwah abah sendiri pernah berpesan kepada mereka, Tolong tengok-tengokkan Yana ya," katanya.
Yana turut mengenang kembali pengorbanan besar arwah bapanya yang sanggup menemaninya menaiki bas dari Johor ke Kuala Lumpur setiap minggu demi memastikan impian anaknya dalam dunia seni dapat direalisasikan.