Sekilas
- 5 Seconds of Summer (5SOS) akan kembali ke Malaysia selepas 10 tahun menerusi jelajah dunia EVERYONE’S A STAR! 2026 pada 17 November di Unifi Arena KL.
- Konsert ini akan menampilkan lagu-lagu baru dari album studio keenam mereka yang berjudul sama, serta hits lama dengan visual imersif yang menarik.
- Jualan tiket dibuka dalam dua fasa bermula 4 Mei 2026 untuk Artist Presale dan 5 Mei 2026 untuk jualan umum melalui laman rasmi.
Kumpulan pop-rock antarabangsa 5 Seconds of Summer atau lebih dikenali sebagai 5SOS akhirnya kembali ke Malaysia selepas sedekad, menerusi jelajah dunia terbaharu mereka, EVERYONE’S A STAR! 2026 World Tour.
Kepulangan ini pastinya dinanti-nantikan peminat tempatan, apatah lagi kali terakhir mereka beraksi di negara ini adalah sekitar 10 tahun lalu.
Konsert tersebut dijadual berlangsung pada 17 November 2026 di Unifi Arena KL, menjanjikan malam penuh tenaga dengan gabungan muzik, emosi dan produksi bertaraf antarabangsa.

Dianjurkan oleh SAH Entertainment, persembahan ini dijangka menjadi antara konsert pop-rock paling besar tahun ini, dengan tarikan bukan sahaja kepada peminat setia, malah pendengar baharu.
Menariknya, jelajah ini hadir seiring dengan pelancaran album studio keenam mereka yang juga berjudul EVERYONE’S A STAR!, iaitu karya pertama sejak tahun 2022.
Album tersebut memperlihatkan evolusi muzik 5SOS dengan bunyi yang lebih berani dan merentas genre, diinspirasikan daripada nama besar seperti N.E.R.D., Gorillaz dan The Prodigy, tanpa menghilangkan identiti asal mereka sebagai band yang terkenal dengan persembahan bertenaga.
Dalam konsert di Kuala Lumpur nanti, peminat boleh menjangkakan gabungan lagu-lagu baharu serta hits lama yang pernah mencipta fenomena global, disertai visual imersif yang meningkatkan pengalaman menonton secara langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif SAH Entertainment, Sufi Rashid, menyifatkan kepulangan 5SOS sebagai momen yang cukup dinanti-nantikan.
“Kami telah melihat gelombang artis rock legenda era 90-an dan 2000-an kembali ke Malaysia dengan sambutan luar biasa daripada peminat. Dengan 5 Seconds of Summer, kami mahu membawa sebuah kumpulan yang dekat dengan generasi muda.
“Persembahan ini adalah detik yang sudah lama dinantikan selepas 10 tahun, dan kami tidak sabar melihat keluarga 5SOS berkumpul bersama,” katanya.
Untuk peminat yang ingin hadir, jualan tiket akan dibuka dalam dua fasa iaitu Artist Presale pada 4 Mei 2026, diikuti jualan umum pada 5 Mei 2026 melalui laman rasmi.

Ditubuhkan di Sydney pada tahun 2011, 5SOS yang dianggotai Luke Hemmings, Michael Clifford, Calum Hood dan Ashton Irwin telah menjual lebih 18 juta album serta mencatat lebih 10 bilion penstriman di seluruh dunia.