Skip to main content

Filem

Aaron Aziz Sambut Kedatangan Bintang Filem Tamil Kaithi

kaithi

Bintang filem Tamil popular Karthik Sivakumar, atau lebih dikenali sebagai Karthi, tiba di Malaysia sempena rangka promosi filem terbaharu terbitan Astro Shaw dan produksi Number Twenty One Media berjudul Banduan.

Ketibaan pelakon terkenal itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Ahad disambut meriah oleh teraju utama Banduan, Datuk Aaron Aziz, bersama wakil produksi dan peminat yang hadir memberikan sokongan.

Advertisement

"Karthi sangat humble dan mesra, dia ada bertanya tentang berapa filem yang sudah saya bintangi.

"Sepertimana saya dilayan dengan baik di Chennai ketika penggambaran filem Tik Tik Tik, jadi saya pun perlu berikan layanan yang baik kepada tetamu saya kali ini," kata Aaron.

Karthi merupakan pelakon utama filem Kaithi (bermaksud banduan), arahan Lokesh Kanagaraj, yang pernah mencipta fenomena besar di India selepas ditayangkan pada tahun 2019.

Filem aksi itu mengisahkan seorang banduan yang membantu pihak polis menumpaskan sindiket dadah dalam misi berbahaya ketika dalam perjalanan untuk bertemu anak perempuannya.

Versi Malaysia berjudul Banduan diadaptasi dengan sentuhan tempatan oleh pengarah Kroll Azry menampilkan Aaron Aziz sebagai watak utama, selain Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot, Abi Madyan dan ramai lagi.

Karthi dijadual berada di Malaysia selama dua hari bagi menjayakan siri promosi Banduan, termasuk sidang media dan sesi pertemuan bersama peminat.

Banduan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 6 November 2025.

Must-Watch Video

Advertisement