Sekilas
- Rohanita, isteri kepada usahawan Datuk Adnan Abu atau Datuk Red, berkongsi rasa syukur selepas selamat mendirikan rumah tangga pada 3 Julai 2026.
- Datuk Red berjanji akan menjaga dan membahagiakan Rohanita walaupun tidak dapat menjamin kesihatannya sentiasa baik.
- Datuk Red sebelum ini bercerai dengan dua isteri terdahulu, termasuk penyanyi Adira Suhaimi, dan dikurniakan empat cahaya mata hasil perkahwinan bersama Adira.
Isteri kepada usahawan, Datuk Adnan Abu iaitu Rohanita meluahkan rasa syukur selepas selamat mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya pada Jumaat.
Menerusi satu hantaran di TikTok, Rohanita berharap Adnan atau lebih mesra disapa sebagai Datuk Red mampu menjadi seorang suami yang penyayang dan melindunginya.
“Alhamdulillah, 3/7/2026. Abang Red.
"Abang, saya tak minta banyak, lindungilah dan sayangilah saya sebaiknya,” tulisnya.
Sementara itu, Datuk Red juga sempat membalas hantaran isterinya itu.
Kata Red, dia berjanji akan membahagiakan dan menjaganya sebaik mungkin.
“Abang boleh janji akan jaga sayang dan bahagiakan sayang... tapi abang tak boleh janji abang sentiasa sihat. Sayang doakan abang sihat ye... Sayang isteriku,” tulisnya.
Terdahulu, bekas suami kepada penyanyi Adira Suhaimi itu kembali bergelar suami selepas selamat bernikah dengan Rohanita dalam sebuah majlis tertutup yang dipercayai berlangsung di ibu negara.
Dalam majlis tersebut, Datuk Red menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 dan tampil segak mengenakan persalinan serba putih sedondon bersama isterinya.
Untuk rekod, Datuk Red sebelum ini bercerai dengan isteri pertamanya, Sharifah Norshafila Hashim, dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Selangor pada 13 Mei 2024.
Beliau kemudian sah bercerai talak satu dengan Adira pada penghujung April 2024 selepas mendirikan rumah tangga di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.
Hasil perkahwinan bersama Adira, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, Asan, Anggun dan Ayob.
Sumber: TikTok