Sekilas
- Acha Septriasa berkongsi pengalaman berdamai dengan perceraian selepas bercerai dengan suami pada Mei 2025 dan menumpukan perhatian kepada anaknya.
- Dia melalui proses memaafkan diri sendiri dan mendapatkan ketenangan jiwa melalui kekuatan spiritual dan doa.
- Acha masih percaya kepada institusi perkahwinan dan tidak menolak peluang kedua, namun kini fokus utama adalah kebahagiaan anaknya.
Pada saat kariernya kembali menemukan jalan semula lewat kesibukan membintangi beragam projek termasuk Munafik: Melawan Iblis, ironi aktres Acha Septriasa sempat menjalani babak hidup yang tidak mulus.
Wanita berusia 37 tahun itu mengalami episod duka dalam kehidupan peribadi apabila bercerai dengan suami, Vicky Kharisma pada Mei 2025. Pasangan yang berkahwin pada 2016 itu dikurniai seorang anak perempuan bernama Bridgia Kalina Kharisma.
Setahun usai perceraian, Acha mengakui proses berdamai dengan perceraian bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila keputusan yang dibuat turut memberikan kesan kepada anak tersayang.
Namun kata Acha, dia melewati fasa pahit tersebut perlahan-lahan tanpa memaksa dirinya untuk segera melupakan segala yang berlaku.
Menurutnya lagi, dia memerlukan masa untuk memahami perasaan sendiri, selain belajar menerima keadaan dan memaafkan diri atas keputusan yang telah dibuat.
“Proses untuk berdamai dengan semua yang berlaku mengambil masa yang agak lama bagi saya. Saya melaluinya secara perlahan-lahan dan memberikan ruang kepada diri sendiri.
“Untuk memaafkan diri sendiri selepas membuat keputusan yang memberikan kesan kepada anak tersayang, perkara itu sangat berat. Bukan mudah untuk memaafkan diri sendiri,” akuinya secara eksklusif kepada Gempak sewaktu hadir ke Malaysia sempena tayangan perdana Munafik: Melawan Iblis, baru-baru ini.
Bintang Indonesia itu kemudian melanjutkan bicara dengan menceritakan tentang proses dirinya berdamai dan menuju titik pulih. Katanya, dia banyak bergantung kepada kekuatan spiritual dan doa untuk mendapatkan ketenangan jiwa.
Acha memberitahu dia berdoa agar diberikan kekuatan untuk melepaskan beban yang ditanggung, selain dipertemukan dengan individu yang membawa pengaruh positif dalam kehidupannya.
“Saya banyak berdoa agar diberikan ketenangan jiwa, beban berat di hati diringankan dan saya dipertemukan dengan orang-orang yang baik.
“Rupa-rupanya, Tuhan memakbulkan doa saya sedikit demi sedikit. Saya diberikan jalan untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.
Malah aktres yang mula mencuri perhatian peminat lewat filem Heart pada tahun 2006 silam itu juga melahirkan pandangan tentang keputusan yang diambil individu dan mempunyai alasan tersendiri apabila memilih untuk berpisah.
Keputusan tersebut termasuk demi menjaga kesihatan mental atau keluar daripada hubungan yang dipenuhi konflik berpanjangan.
Bagaimanapun, Acha menegaskan tidak menyokong perpisahan sebagai jalan penyelesaian bagi semua pasangan, malah tetap percaya perkahwinan yang bahagia dan berkekalan merupakan sesuatu yang baik.
Dan meski masih berusaha melewati masa perih dan ‘kehilangan’ dalam perkahwinan, Acha mengatakan dirinya masih percaya kepada institusi perkahwinan dan tidak menolak kemungkinan untuk memberikan peluang kedua kepada dirinya kembali menyulam cinta.
“Saya masih percaya (institusi perkahwinan). Saya seorang yang sangat positif. Saya percaya setiap orang berhak mendapat peluang kedua dan saya masih mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia.
“Namun, buat masa ini, sudah tiba masanya untuk saya memberikan tumpuan kepada anak,” katanya.
Buat wanita itu, perjalanan untuk kembali membina kehidupan bukan sekadar tentang melupakan masa lalu, sebaliknya turut melibatkan usaha menerima diri sendiri dan memberikan ruang kepada hati untuk pulih.
Acha malah meletakkan kebahagiaan anak menjadi keutamaannya, sementara soal membuka lembaran baharu dalam kehidupan peribadi diserahkan kepada masa dan ketentuan Tuhan.