Sekilas
- Nabila Razali memilih pelawak Nabil Ahmad sebagai rakan kolaborasi untuk lagu raya terbarunya kerana personaliti kuat Nabil sesuai dengan karakter lagu tersebut.
- Lagu 'Tak Sabar Nak Raya' adalah prekuel kepada lagu 'Raya Mana' dan mengisahkan babak mengenali seseorang sebelum raya.
- Lagu ini dihasilkan oleh Brendan Lim Seng Meng, Denise Chan Li-Hsia, Foong Le Xin, dan Asyraf Nasir, dengan MFMF sebagai produser dan penyusun muzik.
Pelakon dan penyanyi, Nabila Razali berkongsi sebab utama dia memilih pelawak Nabil Ahmad sebagai rakan kolaborasi bagi lagu raya terbarunya.
Menurut Nabila atau nama lengkap Nur Nabila Mohd Razali, 34, nama Nabil terus terlintas di fikirannya sebaik sahaja dia mendengar demo lagu Tak Sabar Nak Raya.
Tambah penyanyi lagu Peluang Kedua itu, dia menyifatkan pelawak berusia 43 tahun itu sebagai seorang figura yang berpersonaliti kuat.
“Waktu saya dengar demo, saya dah tahu rakan duet itu tak boleh sebarangan penyanyi. Kena ada seseorang yang mempunyai karakter yang kuat.
“Bila saya berbincang dengan pengurus saya, nama Nabil Ahmad terus muncul dalam kepala. Waktu itu terus kita buat panggilan. Nabil setuju tanpa dengar demo lagu lagu.
“Saya sangat bersyukur dapat berkolaborasi dengan Nabil untuk lagu ini,” kata Nabila kepada Gempak.
Nabila berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran Lagu Raya yang berlangsung di Pusat Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas lanjut tentang lagu raya, Nabila memaklumkan lagu yang berjudul Tak Sabar Nak Raya ini merupakan kisah prekuel yang melengkapkan naratif raya.
“Sebenarnya lagu ini prekuel. Lagu 'Raya Mana' itu dah kahwin, dah fikir nak raya mana. Tapi kali ini ada sedikit babak mengenali seseorang.
“Jadi lagu Tak Sabar Nak Raya ini sebelum Raya Mana,” ujarnya.
Lagu Tak Sabar Nak Raya ini merupakan hasil ciptaan Brendan Lim Seng Meng, Denise Chan Li-Hsia, Foong Le Xin serta Asyraf Nasir, manakala MFMF bertindak sebagai produser dan penyusun muzik.