Sekilas
- Elfira Loy berkongsi pengalaman dibesarkan dengan didikan arwah ibunya yang sentiasa mendorongnya mencuba pelbagai perkara walaupun dia pemalu dan kurang yakin.
- Selepas mula menyertai teater, Elfira mula sedar minatnya dan bertanya mengapa dia tidak mempunyai kemahiran seperti orang lain, lalu ibunya terus mendorongnya walaupun dia sering menolak.
- Elfira menegaskan setiap ibu ada naluri tersendiri dalam membesarkan anak dan pendekatan yang sesuai untuk satu anak mungkin tidak sama untuk anak lain.
Pelakon Elfira Loy berkongsi pengalaman membesar dengan didikan arwah ibunya yang sentiasa mendorong dirinya mencuba pelbagai perkara meskipun dia sering menolak kerana malu dan tidak yakin.
Menurut Elfira, ibunya pernah mendedahkannya kepada pelbagai aktiviti sejak kecil, namun usaha itu terhenti apabila dia enggan bergaul dan berjumpa dengan orang lain.
Bagaimanapun, selepas mula menyertai teater dan menyedari minatnya dalam bidang tersebut, Elfira mula mempersoalkan mengapa dirinya tidak mempunyai kemahiran seperti orang lain.
“Ibu saya memang dedahkan saya dengan banyak benda tapi berhenti sebab saya pemalu dan tak nak jumpa orang.
“Tapi masa saya join teater dan tiba-tiba rasa minat, mulalah saya persoalkan, ‘Kenapalah saya tak ada skills macam orang lain?’” kongsinya.
Dalam pada itu, Elfira mengakui pernah bertanya kepada arwah ibunya mengapa dia tidak dipaksa untuk mencuba sesuatu perkara sejak dahulu, memandangkan dia merasakan agak sukar untuk mengejar kemahiran yang dimiliki orang lain ketika sudah dewasa.
Jelasnya, sejak itu, ibunya akan terus mendorongnya setiap kali dia mengatakan tidak mahu melakukan sesuatu perkara.
“Dah tua mana nak catch up? Jadi, saya tanya mama, ‘Kenapa mama tak push kakak?’ Sebab bila kita nervous atau penat, sudah tentu kita akan cakap tak nak, kan?
“Jadi sejak itu, apa-apa saya kata tak nak, ibu saya push saja. Ada yang saya benci jadi suka, ada yang saya benci memang sampai sekarang benci.
“Tapi adakah dia memberi kelebihan pada saya? Ya, ada,” ujarnya.
Bagaimanapun, Elfira menegaskan setiap ibu mempunyai naluri tersendiri dalam membesarkan anak-anak dan pendekatan yang sesuai untuk seseorang anak tidak semestinya berkesan untuk anak orang lain.
“Jadi, kita ini mak ada instinct terhadap anak kita, ingat anak kita saja tahu. Jangan samakan untuk anak-anak orang lain.
“Jadi, percaya dengan apa yang kita nak terbaik untuk anak kita,” katanya.