Sekilas
- Khairul Aming menjelaskan restoran Rembayung tidak menggunakan ‘food lift’ kerana konsep hidangan yang menyajikan pelbagai lauk untuk setiap meja tidak praktikal.
- ‘Food lift’ lebih sesuai untuk restoran ala carte yang hanya menyediakan satu pinggan hidangan bagi setiap pelanggan.
- Selain kapasiti terhad, penggunaan ‘food lift’ juga boleh melambatkan operasi dapur kerana lauk keluar secara berterusan.
Usahawan dan pemilik Rembayung, Khairul Aming, tampil memberi penjelasan susulan pertanyaan netizen yang mempersoal tentang ketiadaan ‘food lift’ di restoran viral itu.
Tidak cepat melatah, Khairul Aming menerusi satu hantaran di Threads, telah menjawab dan memberikan penerangan dengan jelas mengenai perkara itu.
Menurutnya, konsep hidangan di Rembayung yang menyajikan pelbagai jenis lauk bagi setiap meja menjadikan penggunaan ‘food lift’ itu kurang praktikal.
Malah katanya lagi, ‘food lift’ lebih sesuai digunakan untuk restoran yang menawarkan menu ala carte seperti pasta atau stik, di mana setiap pelanggan hanya menerima satu pinggan hidangan.
“Good point. Satu meja ada tujuh, lapan lauk, tak termasuk air dan nasi putih. Jumlah berbelas pinggan setiap meja.
“Kalau kedai jual ala carte menu macam pasta, steak, sesuai guna sebab sorang customer satu plate sahaja,” ulasnya.

Dalam hantaran yang sama, Khairul Aming juga turut menjelaskan kapasiti ‘food lift’ yang terhad tidak mampu memuatkan semua lauk dan nasi dalam satu masa selain faktor kelancaran operasi dapur juga diambil kira.
“Cuba kira berapa pinggan sahaja yang muat dalam lift ni, tak boleh fit semua lauk dan nasi untuk satu meja pun sebenarnya.
“Window tak boleh tunggu lift ni naik, keluar makanan and turun balik. Lambat seminit je akan jam sebab lauk kita keluar non stop. Hence that’s why kita tak guna food lift ni,” jelasnya.
Penjelasan itu ternyata mendapat perhatian ramai pengikut yang rata-ratanya mengagumi cara pemikiran Khairul Aming selain memuji tahap kesabarannya yang tinggi dalam menjawab soalan netizen.