Sekilas
- Hael Husaini menghasilkan lagu raya berjudul "Senyum Gugur Di Penghujung Doa" yang dinyanyikan oleh Dayang Nurfaizah dengan pendekatan emosi dan syahdu berbeza daripada lagu raya biasa.
- Hael mencipta empat lagu raya untuk artis lain tahun ini, termasuk kolaborasi dengan kumpulan Alpha, Nabila Razali, dan lagu untuk program Nona di TV3.
- Hael menghargai perubahan dalam muzik raya moden dan menegaskan bahawa pembaharuan adalah penting selaras dengan selera pendengar yang berubah.
Komposer dan penyanyi terkenal, Hael Husaini tampil dengan pendekatan berbeza dalam karya raya tahun ini apabila menghasilkan lagu bernuansa emosi berjudul Senyum Gugur Di Penghujung Doa yang dinyanyikan oleh Dayang Nurfaizah.
Berbeza dengan kebanyakan lagu raya yang sering tampil dengan irama rancak dan ceria, Hael memilih untuk mengetengahkan sisi yang lebih mendalam dan menyentuh emosi. Keputusan itu ternyata membuahkan hasil apabila lagu berkenaan menerima maklum balas positif daripada pendengar sejak dilancarkan.
Berkongsi tentang proses di sebalik pembikinan lagu tersebut, Hael mengakui pada awalnya dia tidak merancang untuk menghasilkan lagu raya tahun ini kerana jadual kerja yang padat.
"Sejujurnya, tahun ini saya memang tidak berniat untuk mengeluarkan lagu raya memandangkan jadual dan komitmen kerja yang agak padat.
"Bagaimanapun, rezeki tetap ada. Walaupun saya sendiri tidak sempat merakamkan lagu raya, akhirnya saya menghasilkan empat buah lagu bersempena Syawal untuk penyanyi lain. Ini juga kali pertama saya mencipta lagu raya khusus untuk artis lain," katanya ketika ditemui pada majlis Amber Lux Meet & Greet with Scha Alyahya dan Hael Husaini di IOI City Mall, baru-baru ini.
Menurut Hael, empat projek raya yang dihasilkannya tahun ini melibatkan beberapa kolaborasi menarik termasuk bersama kumpulan Alpha bagi kempen Astro dan Cuckoo, lagu raya untuk program Nona di TV3, karya untuk Nabila Razali serta sebuah lagu istimewa untuk Dayang Nurfaizah.
Mengulas keputusannya menghasilkan lagu raya yang lebih syahdu, Hael menjelaskan bahawa karya tersebut didedikasikan buat mereka yang mungkin menyambut Aidilfitri dalam suasana berbeza.
"Demo lagu untuk Dayang sebenarnya sudah lama disiapkan. Untuk tahun ini saya mahu sesuatu yang sedikit berbeza.
"Memang kita tahu hari raya adalah masa untuk bergembira, tetapi sebagai pencipta lagu saya juga memikirkan mereka yang mungkin menyambut Syawal dalam keadaan berbeza atau sedang berduka.
"Lagu ini memang saya khaskan untuk golongan itu," katanya.
Hael turut mengulas pandangan penyanyi Noraniza Idris yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap kemunculan lagu raya moden yang dianggap terlalu kreatif sehingga berpotensi menghakis roh asal Aidilfitri.
Menurut Hael, perubahan dalam dunia muzik adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan seiring perkembangan zaman dan selera pendengar.
"Apa yang diperkatakan beliau ada benarnya kerana adat dan muzik tradisional tidak seharusnya dilupakan.
"Namun, tidak salah juga untuk kita membawa pembaharuan kerana selera pendengar sentiasa berubah.
"Kita tidak boleh memaksa orang yang tidak minum kopi untuk minum kopi atau memaksa orang makan pedas jika mereka tidak tahan pedas," katanya.
Tambah Hael, kemunculan pelbagai lagu raya pada masa kini sebenarnya menunjukkan perkembangan positif industri muzik tempatan yang semakin aktif dengan idea dan pendekatan baharu daripada para pengkarya.
"Pada akhirnya, tiada yang betul atau salah. Semuanya bergantung kepada cara lagu itu dipasarkan dan bagaimana ia diterima oleh pendengar," katanya.