Skip to main content

Berita Tempatan

Masuk Tahun Ketiga Puasa Penuh, Scha Alyahya Kongsi Keterujaan Lara Alana Sambut Ramadan - "Saya Pernah Tanya Kenapa Seronok Berpuasa..."

Astro Gempak scha lara

Sekilas

  • Scha Alyahya berkongsi kegembiraan melihat anak sulungnya, Lara Alana, yang sudah berpuasa penuh sejak usia lapan tahun dan kini memasuki tahun ketiga berpuasa sebulan penuh.
  • Lara sangat teruja menyambut Ramadan dan suka berpuasa, walaupun ganjaran RM20 sehari yang dijanjikan Scha pada awalnya sudah dilupakan selepas berjaya berpuasa penuh.
  • Sepanjang Ramadan, Lara sering meminta makanan kegemaran untuk berbuka, yang biasanya dipenuhi oleh suami Scha, Awal Ashaari, manakala anak kedua mereka, Lyla Amina, masih belum mula berpuasa kerana usianya baru lima tahun.

Pelakon dan pengacara terkenal Scha Alyahya berkongsi keterujaannya melihat anak sulungnya, Lara Alana, semakin bersemangat menjalani ibadah puasa setiap kali tibanya Ramadan.

Menurut Scha, anaknya itu mula berpuasa penuh sejak berusia lapan tahun dan tahun ini dijangka menjadi tahun ketiga Lara berjaya menunaikan puasa sebulan penuh.

“Sejak usia lapan tahun, Lara dah berpuasa penuh. Insya-Allah, tahun ini masuk tahun ketiga dia berpuasa penuh. Dia memang sangat teruja setiap kali datang bulan puasa,” katanya kepada Gempak.

Scha berkata, dia sendiri pernah bertanya kepada Lara mengenai sebab anaknya itu begitu gembira menyambut Ramadan setiap tahun.

Namun jawapan yang diberikan cukup ringkas.

“Saya pernah tanya kenapa dia rasa seronok sangat. Lara cakap dia memang suka berpuasa,” ujarnya.

Scha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis meet and greet sempena pembukaan butik baharu Amber di IOI City Mall, Putrajaya.

Menurut Scha lagi, ketika Lara mula belajar berpuasa dahulu, dia pernah menjanjikan ganjaran sebagai dorongan kepada anaknya.

“Mula-mula dulu saya ada cakap, kalau dia puasa saya nak bagi RM20 sehari. Tapi bila dia berjaya berpuasa penuh sebulan, dia sendiri dah lupa tentang ganjaran itu.

“Jadi saya bawa dia bercuti, kebetulan waktunya juga dekat dengan ulang tahun kelahiran Lara,” katanya.

Sepanjang Ramadan juga, Lara sering meminta pelbagai makanan kegemarannya untuk berbuka puasa. Menariknya, suami Scha yang juga pengacara popular Awal Ashaari biasanya akan memenuhi permintaan tersebut.

“Lara memang suka minta makanan yang dia gemar dan Awal pula yang selalu tunaikan. Kadang-kadang dia minta pencuci mulut seperti sago gula melaka, agar-agar, pulut mangga dan macam-macam lagi. Hampir setiap hari ada saja yang dia mahu dan Awal akan sediakan,” katanya.

Dalam masa sama, Scha turut berkongsi bahawa situasi berbeza dengan anak keduanya, Lyla Amina, yang masih belum mula berpuasa kerana usianya baru lima tahun.

“Lyla masih belum berpuasa sebab dia kata dia masih ‘baby’. Sekarang dia baru lima tahun. Saya pun sudah terfikir-fikir macam mana nanti apabila umur dia masuk lapan tahun,” selorohnya.

Anda mungkin berminat dengan

Nur Food Kurma Ajwa Madinah AA (1kg) (Nur Food Kurma Ajwa Madinah AA (1kg))

Nur Food Kurma Ajwa Madinah AA (1kg) (Nur Food Kurma Ajwa Madinah AA (1kg))

[TERINGIN.JE] Sour Cream Butter Cake

[TERINGIN.JE] Sour Cream Butter Cake

Dendeng Nyet Berapi by Khairulaming

Dendeng Nyet Berapi by Khairulaming

Kerepek Ubi Pedas Basah 400g Tapioca Chips Flavour Syrup Sambal Chili 400g SIGNATURE DELIGHT

Kerepek Ubi Pedas Basah 400g Tapioca Chips Flavour Syrup Sambal Chili 400g SIGNATURE DELIGHT

Rendang Nyet Berapi by Khairulaming

Rendang Nyet Berapi by Khairulaming

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Must-Watch Video

Advertisement