Sekilas
- Adam Lee akan menyertai acara sukan tempur Fury Redemption pada 28 Disember ini untuk menunjukkan kemampuannya dan mengubah persepsi tentang kekurangan pelakon aksi dalam industri hiburan tempatan.
- Pelakon berusia 31 tahun ini mahu keluar daripada imej pelakon romantik dan membuktikan versatiliti dirinya selepas lebih sedekad mengimpikan peluang berlakon dalam naskhah aksi.
- Adam menegaskan dia tidak berasa iri hati dengan rezeki orang lain dan akan terus berusaha walaupun sering gagal dalam casting, sambil mendapat sokongan daripada isteri, Sweet Qismina.
Bakal mencabar diri dengan menyertai acara sukan tempur, Fury Redemption Ahad ini, pelakon, Adam Lee tidak mengharapkan kemenangan sebaliknya hanya mahu menonjolkan kemampuannya.
Dalam masa yang sama, pemilik nama Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee ini menjelaskan bahawa penyertaannya dalam acara sukan tersebut adalah untuk mengubah persepsi yang mengatakan kurangnya pelakon aksi dalam dunia hiburan tempatan.
“Sejujurnya saya tak letakkan harapan apa-apa. Menang atau kalah itu perkara biasa. Tapi tipulah kalau kata tak nak menang. Apa-apa sukan pun kalau kita main mesti nak menang.
“Kalau boleh saya tak mahu orang mengata. Kalau boleh nak jadikan perlawanan itu sebagai ‘sedap mata memandang’.
“Tujuan saya masuk perlawanan ini adalah untuk ubah persepsi yang mengatakan industri kita ini kekurangan pelakon aksi
“Sebenarnya kita tak kekurangan pelakon aksi cuma tak diberikan peluang dan asyik ulang orang yang sama saja,” katanya kepada Gempak.
Adam berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi pickleball selebriti bersama media bertempat di PickleX, I-City, Shah Alam pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Adam memaklumkan bahawa sudah lebih sedekad dirinya mengimpikan untuk berlakon dalam naskhah aksi namun tidak diberikan peluang.
Ujar Adam yang sering dikenali menerusi naskhah romantik, dia juga mahu keluar daripada zon selesa dan membuktikan versatiliti dirinya yang kini sudah menginjak usia 31 tahun.
“Umur saya dah 31 tahun dan saya dikenali sebagai pelakon bagi drama atau filem romantik. Jadi, saya nak keluar daripada kepompong itu dan nak jadi versatil.
“Sebenarnya sudah lebih satu dekad saya mengimpikan untuk berlakon dalam drama atau filem aksi. Saya dah cuba bermacam-macam, pergi casting dan sebagainya tetapi masih tak diberikan peluang.
“Jadi, tujuan saya sertai perlawanan ini adalah untuk buka mata orang atasan untuk beri peluang kepada kami. Saya juga nak buktikan kepada orang yang saya boleh berlakon aksi,” ujarnya.
Sungguhpun begitu, suami kepada pelakon Sweet Qismina ini menegaskan dirinya tidak berasa terkilan malah tidak sesekali menyimpan rasa iri hati terhadap rezeki orang lain
“Saya tak terkilan sebab itu adalah rezeki masing-masing cuma saya juga nak diberikan peluang itu.
“Tapi saya tak akan pernah berputus asa. Kalau nak tahu saya adalah muka yang selalu pergi casting. Tapi hujung-hujung tak dapat atau akan ditukarkan dengan orang lain pada saat akhir.
“Apa yang penting ialah kita tak letak sifat dengki atau iri hati dalam diri kita. Kita kena fikir Allah ada juga bagi sesuatu yang mungkin orang lain tak dapat.
“Saya banyak belajar dengan isteri saya yang banyak menasihati,” katanya.
Sekadar info, Adam akan menentang seorang lagi pelakon dan pempengaruh iaitu Alif Muhaimin bagi kategori Lightweight Bout Muay Thai bertempat di Arena Sukan, Kuala Lumpur pada 28 Disember ini.