Penyanyi, Mimi Fly bersyukur selepas lagu Angkat nyanyiannya merangkul anugerah Lagu Pop Elektronik atau Dance Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24).
Menurut wakil Mimi, penyanyi itu menzahirkan rasa syukur dan terharu atas kemenangan tersebut.
Advertisement
"Alhamdulillah, terima kasih AIM24, 17 tahun saya berada dalam industri ini sejak 2008. Saya ambil masa berehat pada 2020 dan buat keputusan untuk buat kemunculan semula pada 2024.
"Saya rasa terlalu tua dan ini bukan masa saya lagi tapi alhamdulillah Angkat memberikan hasil terbaik untuk saya," kata Mimi menerusi wakilnya.
Pelantun lagu Serumpun itu tidak dapat menghadirkan diri bagi menerima trofi kerana berada di Sarawak atas urusan kerja.
Dalam pada itu, Mimi turut menyatakan composer Wan Syahman Wan Yunus yang mendorongnya membawakan lagu Angkat sehingga berjaya di pentas berprestij itu.
"Angkat merupakan inspirasi daripada Wan Shahman untuk kembali memperkasakan diri saya. Kali ini saya tampil dengan label dan pasukan sendiri. Terima kasih semua," tambahnya.
Mimi berjaya menewaskan empat calon lain iaitu 99 nyanyian Fugo, Nada Baru (FLQ feat Yuna), Ruang (Late Night Frequency feat Aiman Nomad) dan Tak Sempurna (Aril feat Nigel Sparks).