Sekilas
- Aisha Retno menafikan dakwaan berat sebelah dalam pemilihan Top 5 AIM25, menegaskan keputusan dibuat oleh panel juri secara adil.
- Lagu "Diari Air Mata" ciptaan Ajai yang tercalon dalam kategori Lagu Pop Terbaik dianggap sebagai karya yang underrated dan kini mendapat pengiktirafan.
- Aisha menerima beberapa pencalonan termasuk Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, dan Album Terbaik, selain dua pencalonan lain sebagai penulis lirik.
Penyanyi, Aisha Retno menafikan dakwaan wujud unsur berat sebelah dalam pemilihan calon Top 5 Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), susulan lagu Diari Air Mata ciptaan sepenuhnya oleh Ajai tercalon dalam kategori Lagu Pop Terbaik.
Menurut Aisha, pemilihan setiap lagu dibuat secara adil dan berdasarkan keputusan keseluruhan panel juri, bukannya bergantung kepada Ketua Juri, Ajai, semata-mata.
“Berkenaan isu mengenai ketua juri dan sebagainya, kita ada ramai barisan juri. Jadi untuk semua lagu yang dicalonkan adalah berdasarkan persetujuan semua juri yang terlibat.
“Keputusan itu bukan hanya bergantung kepada ketua juri sahaja, itu yang saya boleh tegaskan di sini,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai lagu Diari Air Mata, Aisha berkata dia berasa sangat bersyukur kerana lagu tersebut mendapat pengiktirafan yang sepatutnya.
Jelas Aisha, lagu itu sebelum ini boleh dikatakan kurang mendapat perhatian dan berharap dengan pencalonan itu dapat membuka mata pendengar untuk lebih menerima hasil karya berkenaan.
“Untuk lagu Diari Air Mata itu sendiri, saya rasa sangat bersyukur sebab itu lagu paling ‘underrated’ yang saya ada buat masa ini.
“Dari segi penulisan pula, Diari Air Mata merupakan satu-satunta lagu yang saya tidak ‘ukirkan’ sendiri. Lagu itu ditulis sepenuhnya oleh abang Ajai.
“Sebenarnya ramai juga yang sukakan lagu ini tetapi mungkin disebabkan belum ada masa yang tepat, sebagai contoh lagu Tak Adil pun mengambil masa setahun untuk naik.
“Mungkin Diari Air Mata boleh diketengahkan lagi, diharapkan dengan pencalonan ini, dapat membuka mata ramai pihak mengetahui bahawa saya juga mempunyai varisi lagu bersama penulis lain,” jelasnya.
Untuk info, Aisha tercalon menerusi Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Pop Elektronik Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik.
Sementara itu, dua pencalonan lain ialah melalui penulis lirik bagi kategori Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perayaan Terbaik.