Sekilas
- Ain Edruce berkongsi pengalaman membeli dua tiket F1 Grand Prix Bahrain pada harga RM8,000 tanpa menyedari harga sebenar jauh lebih murah.
- Dia hanya sedar tiket itu mahal selepas tiba di lokasi perlumbaan dan melihat orang lain membeli tiket dengan harga lebih rendah.
- Ain mengaku tidak membuat semakan harga terlebih dahulu dan membeli tiket secara impulsif melalui laman web, menyebabkan dia rasa tertipu dengan harga tiket yang melampau.
Pelakon dan pengacara, Ain Edruce berkongsi pengalamannya yang berdepan dengan situasi tidak disangka selepas membeli dua tiket perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain pada harga RM8,000.
Menurut Ain atau nama lengkapnya Nurul Ain Edruce, dia pada awalnya menyangka harga tersebut berbaloi sehinggalah mula menyedari tiket yang dibelinya sebenarnya jauh lebih murah daripada jumlah yang dibayar.
Menurut Ain, dia mula menyedari perkara tersebut selepas tiba di lokasi perlumbaan apabila melihat orang ramai membeli tiket pada harga lebih rendah.
“Mula-mula memang gembiralah bila dapat beli tiket, tapi dia (suami) kasihan jugalah sebab ramai saja orang yang jual semula dengan harga lebih murah.
“Bila tengok orang beratur panjang nak naik shuttle bus terfikir juga nak jual tiket tu, tapi siapa nak beli harga RM8,000. Akhirnya saya dan suami pergi juga dan orang tegur ini yang beli tiket RM8,000 tu kan, kenapa duduk sini.
“Jadi saya tahulah tiket dibeli itu melampau betul harganya. Amirul bila dapat tiket itu bukan sebab saya buat kejutan sweet, tetapi harga tiket yang melampau itu,” katanya kepada Gempak.
Ain berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di sidang media konsert Cuckootopia dan AMT2026 yang berlangsung di Hotel Hyatt Regency, Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, Ain mengakui tidak membuat semakan harga terlebih dahulu sebelum membeli tiket berkenaan menerusi sebuah laman web.
“Saya kena scam tapi saya dapat tiket itu, cuma harganya melampau.
“Orang beli tiket tu RM2,000 untuk seorang, konon-konon nak buat kejutan untuk suami, kita pula tak tahu fasal sukan permotoran ni.
“Waktu itu saya sedang berurut, nak tenang-tenang malas fikir. Jadi saya buka saja satu laman web ini dan terus beli,” ujarnya.
Tambah Ain, dia juga tidak menyangka harga RM8,000 bagi dua tiket berkenaan terlalu tinggi kerana menganggap tiket tersebut mungkin menawarkan tempat duduk yang lebih baik dan sepadan dengan harga yang dibayar.
“Saya tengok harga RM8,000 tu rasanya tidaklah mahal sangat tetapi tidak juga murah.
“Saya bayangkan seat itu mesti best, jadi saya belilah. Disebabkan tak suka sukan F1 itu, Threads saya tak banyak keluar tentang sukan tersebut.
“Sekali saya tengok rupanya tiket itu harga RM2,000 untuk tiga hari. Saya beli sehari RM8,000. Dah terbeli nak buat macam mana kan,” katanya.
Sebelum ini, Ain menyorot perhatian apabila berkongsi video memaparkan reaksi suaminya, Amirul ketika menerima kejutan tiket perlumbaan F1 yang dibelinya pada 1 Oktober lalu.
Namun, kejutan tersebut akhirnya bertukar menjadi momen lucu apabila Amirul terkejut selepas mengetahui Ain sebenarnya membayar RM8,000 untuk mendapatkan dua tiket berkenaan.