Skip to main content

Hiburan

Alif Muhaimin Naik 10KG Demi Fury Redemption, Mahu Buktikan Keupayaan Berlakon Filem Aksi - “Harap Dapat Buka Mata Pihak Produksi”

Alif Muhaimin

Sekilas

  • Alif Muhaimin perlu naikkan berat badan dari 63kg ke 73kg sejak Mei lalu untuk layak berlawan dengan Adam Lee dalam kategori Lightweight Muay Thai di Fury Redemption.
  • Dia menjalani rutin latihan ketat setiap hari termasuk joging, senaman otot, dan latihan Muay Thai demi persiapan pertandingan malam ini di Arena Sukan Kuala Lumpur.
  • Alif berharap penyertaannya dalam pertandingan ini dapat membuktikan kemampuannya berlakon babak aksi dan menarik perhatian pihak produksi filem aksi.

Pelakon, Alif Muhaimin berkongsi perubahan besar yang perlu dilakukannya sejak Mei lalu sebagai persiapan untuk menentang pelakon, Adam Lee di pertandingan Fury Redemption.

Menurut Alif, dia perlu menaikkan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg) dari 63kg bagi melayakkan diri untuk berlawan bagi kategori yang sama bersama Adam.

Ujar Alif, perjalanan untuknya menaikkan berat badan bukanlah mudah kerana dia perlu memaksa diri untuk makan setiap hari.

“Untuk perlawanan kami, saya perlu naikkan berat badan dari 63kg menjadi 73kg manakala Adam pula perlu turunkan berat badan dari 80kg.

“Susah sebenarnya perjalanan untuk naikkan berat badan sebab saya kena paksa diri makan kadang-kadang sampai nak muntah,” katanya kepada Gempak.

Alif berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis sidang media Fury Redemption bertempat di Arena Sukan Kuala Lumpur, Setapak pada Sabtu.

Walau pun begitu, juara program Hero Remaja bagi edisi 2017/2018 ini tetap bersemangat dan berdisiplin melawan keletihan sejak enam bulan yang lalu demi komitmennya dalam Fury Redemption ini.

“Setiap pagi selepas waktu Subuh, penat macam mana sekalipun saya akan joging dan bersenam bagi kuatkan otot kaki.

“Selepas itu buat pula latihan untuk kuatkan otot bahagian perut dan setiap malam akan latihan untuk Muay Thai. Begitulah saya lakukan hampir setiap hari sejak bulan Mei yang lalu,” ujarnya.

Bercakap mengenai sukan kombat, Alif yang sudah menyertai empat pertandingan amatur berkata, dia mahu membuktikan bahawa dia juga mampu untuk membawa watak dalam filem aksi jika diberikan peluang.

“Sejak mula berkecimpung dalam dunia seni bahkan dari kecil lagi saya dah idam untuk berlakon babak aksi.

“Pernah sekali saya berlakon untuk babak menumbuk tetapi tak diberikan peluang untuk buat sendiri sebab mereka kata saya tak ada skill untuk menumbuk.

“Disebabkan itu jugalah saya sertai beberapa pertandingan seperti ini sebab nak buktikan yang saya juga boleh.

“Jadi saya harap dengan penyertaan saya ini dapatlah buka mata pihak produksi yang saya boleh berlakon naskhah aksi,” kongsinya.

Sekadar info, Alif akan menentang seorang lagi pelakon iaitu Adam Lee bagi kategori Lightweight Muay Thai bertempat di Arena Sukan, Kuala Lumpur pada malam ini.

Must-Watch Video

Advertisement