Sekilas
- Seorang individu bertanya kenapa penghuni rumah Datuk Seri Aliff Syukri, termasuk pembantu rumah, sering berlari-lari ketika sesi siaran langsung bersama pelakon Azar Azmi.
- Aliff menjelaskan bahawa rumahnya sangat besar, seluas 28,000 kaki persegi, jadi pergerakan cepat diperlukan.
- Azar Azmi menerima sekitar RM40,000 hasil jualan semasa siaran langsung di rumah Aliff, yang membantu atas dasar empati terhadap kesusahan hidupnya.
Pertanyaan seorang individu mengenai tindakan beberapa di rumah Datuk Seri Aliff Syukri terjawab apabila ciapannya mendapat respon daripada usahawan berkenaan.
Menerusi ciapan di Threads, individu tersebut berseloroh ketika bertanyakan tindakan setiap penghuni rumah termasuk pembantu rumah yang dilihat sering berlari ke sana ke mari sewaktu melakukan sesi siaran langsung bersama pelakon, Azar Azmi pada malam Isnin.
“Tadi termasuk sesi siaran langsung Datuk Aliff waktu dia bantu Azar.
“Cuma persoalan berat dekat sini, memang satu rumah tu suka lari-lari ke? Datuk lari, bibik dia pun lari ke hulu- ke hilir.
“Kenapa ya habis satu penghuni rumah tu berlari? Kemas meja pun lari,” soalnya.
Ciapan itu kemudiannya mendapat respon daripada Aliff yang tampil memberikan penjelasan dengan penuh bersahaja.
“Macam mana saya tak lari, rumah saya 28,000 kaki persegi,” tulisnya.
Pada Isnin, pelakon, Azar Azmi atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi difahamkan datang ke kediaman Aliff untuk berbincang mengenai urusan tawaran kerja.
Azar kemudiannya mendapat wang kira-kira RM40,000 selepas beberapa jam melakukan sesi siaran langsung menjual beberapa barang milik syarikat Aliff.
Ujar Aliff, bantuan dihulurkan itu adalah berlandas rasa empati terhadap nasib menyayat hati menimpa Azar yang kesempitan hidup ketika ini.