Penyanyi, Amira Othman bersedia memikul tanggungjawab sebagai ibu tiri kepada Nur Fatima Aisya yang merupakan anak kepada suaminya yang juga aktor, Fattah Amin.
Menurut Amira, 32, dia tidak merasakan sebagai bebanan kerana dia menerima status Fattah sejak awal perkenalan mereka.
Malah, pemilik nama Nadia Amira Othman juga sangat menyayangi dan suka melayani anak kecil.
“Pada saya siapa pun yang saya pilih, tak kira status atau keadaan seseorang itu saya perlu terima. Begitu juga dengan Fattah yang memilih saya dalam apa keadaan sekalipun.
“Walaupun mungkin saya tidak punya anak, tapi ada benda-benda lain yang saya harus terima. Bagi saya tidak ada masalah sebab itu lumrah. Saya pun bukannya tak biasa dengan kanak-kanak dan harapnya semua baik-baik saja,” katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Bila Nak Kahwin? turut berharap dia dapat menjadi isteri yang baik kepada Fattah.
“Ia satu fasa baharu yang saya percaya dilalui oleh semua orang. Kalau tanya bersedia atau tidak, saya sendiri pun tiada jawapan itu. Tapi apa yang pasti setiap fasa baharu itu harus dilalui dengan baik. Mudah-mudahan dapat jadi isteri yang baik,” tambahnya.
Terdahulu, Fattah dan Amira selamat diijakbulkan dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Sepang, Selangor, pada malam Ahad.
Dinikahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Fattah dan Amira sah menjadi pasangan suami isteri dengan hanya sekali lafaz.
Sumber: Oh Bulan