Sekilas
- Ammar Alfian kini menceburi bidang hartanah sebagai ejen hartanah untuk tidak bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja.
- Pelakon filem Paskal ini akan memulakan kerjaya baru tersebut dari bawah dan berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan dalam bidang hartanah.
- Keputusan Ammar mendapat perhatian ramai yang memuji usaha dan memberikan kata-kata semangat kepadanya.
Tidak mahu bergantung kepada satu sumber pendapatan semata-mata, pelakon, Ammar Alfian kini mencuba nasib dengan menceburkan diri dalam bidang hartanah dan berkhidmat sebagai seorang ejen hartanah.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Ammar memaklumkan dia akan memula kerjaya tersebut dari bawah dan akan berkongsi dengan lebih lanjut mengenai pengalamannya sepanjang bergelar ejen hartanah.
“Bila seorang pelakon menjadi ejen hartanah, ia dianggap pelik. Tapi sejujurnya, saya rasa bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja adalah sesuatu yang agak gila.
“Saya bermula dari bawah, dalam bidang hartanah dan akan berkongsi keseluruhan perjalanan ini, kejayaan, kesilapan, urusan jual beli dan segala-galanya yang berlaku sepanjang perjalanan ini,” kongsinya.
Berkongsi lanjut, pelakon filem Paskal ini mengakui keputusan itu dibuat kerana tidak mahu menjadikan karier lakonan sebagai sumber pendapatan utama.
“Saya sudah bertahun dalam dunia hiburan, sudah jadi hero, penjahat, pukul orang, kena pukul dan sebagainya.
“Tetapi kehidupan berubah dan saya ambil keputusan untuk tidak bergantung pada satu sumber pendapatan sahaja,” katanya lagi.
Perkongsian itu kemudiannya meraih perhatian ramai yang memuji usaha Ammar dalam mencari rezeki malah mereka turut memberikan kata-kata semangat buat pelakon itu.
Sumber: Instagram