Skip to main content

Berita Tempatan

Amri Aziz & Zarol Zarif Perkenal Bib Raya Kucing Pertama Di Malaysia, Ara Johari & Wany Hasrita Jadi Muse!

Astro Gempak bibkucing

Sekilas

  • Amri Aziz dan Zarol Zarif lancar The Fluffyss Bib Raya Collection, koleksi bib raya pertama di Malaysia khas untuk kucing dengan rekaan tradisional Melayu.
  • Koleksi ini menampilkan Male Bib dan Female Bib yang diinspirasikan daripada baju Melayu dan kebaya, serta dimeriahkan dengan kehadiran muse terkenal Ara Johari dan Wany Hasrita.
  • Produk dijual antara RM85 hingga RM99 melalui TikTok Shop dan Absolut Bazaar MITEC, dengan sasaran jualan 10,000 unit serta disertakan kotak eksklusif untuk pengalaman beraya si bulus lebih istimewa.

Demi memastikan si bulus turut bergaya dan selesa menjelang Syawal, pelakon Amri Aziz bersama penyanyi Zarol Zarif tampil dengan idea unik menerusi pelancaran The Fluffyss Bib Raya Collection, koleksi bib raya khas untuk kucing yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Menurut Amri yang memiliki lapan ekor kucing, tradisi membeli baju raya untuk haiwan peliharaan sudah menjadi rutin setiap kali Aidilfitri. Namun, dia menyedari kebanyakan pakaian raya untuk kucing kurang praktikal dan tidak begitu selesa.

“Sudah enam tahun saya membela kucing dan setiap kali raya mereka juga ada ‘baju raya’. Cuma saya perhatikan jika dipakaikan baju raya kucing-kucing dilihat kurang selesa.

“Tetapi apabila dipakaikan Bib leher, kucing kelihatan tenang dan bebas bergerak. Jadi, timbul idea untuk mengeluarkan Bib leher khas untuk kucing sempena raya,” kata Amri tentang koleksi Bib raya kucing pertama di Malaysia itu.

Mengangkat konsep tradisional Melayu, koleksi ini direka dengan sentuhan klasik yang cukup menarik perhatian. Untuk kucing jantan, rekaan Male Bib diinspirasikan daripada baju Melayu cekak musang lengkap dengan samping songket dan songkok mini. Manakala Female Bib pula mengetengahkan elemen kebaya lace bersama songket peplum serta reben comel sebagai pelengkap gaya.

Lebih istimewa, koleksi sulung ini turut menampilkan dua penyanyi terkenal sebagai muse iaitu Ara Johari dan Wany Hasrita yang dianggap sesuai dengan imej elegan dan anggun yang dibawakan jenama The Fluffyss.

“Mereka berdua adalah pencinta haiwan dan sudah lebih 10 tahun berada dalam industri seni. Jadi, pelantikan mereka sebagai muse sangat bertepatan selain, meluaskan lagi promosi dan pasaran untuk produk raya kami,” ujar Amri.

Di bawah syarikat AMZZ Empire, Amri dan Zarol menyasarkan jualan sebanyak 10,000 unit bagi koleksi ini. Sebelum ini, jenama The Fluffyss terlebih dahulu memperkenalkan produk vitamin kucing, Flufftamin sejak Ogos 2024.

“Sebelum keluar produk Bib raya ini, jenama The Fluffyss telah menjual vitamin untuk kucing iaitu Flufftamin sejak Ogos 2024.

“Kami pilih untuk fokus dalam perniagaan berkaitan dengan kucing kerana kami sendiri adalah pencinta kucing dan melihat tidak ramai peniaga yang menjual produk seumpama ini.

“Oleh itu, pesaing tidak ramai seperti mana perniagaan makanan atau pakaian. Pencinta kucing di Malaysia dan Singapura sangat ramai, jadi ketika kami mula jual produk berkaitan kucing pengikut teruja dan memberi sokongan.

“Kami yakin industri berkaitan kucing ini boleh pergi jauh. Perjalanan kami bermula dengan agak baik selain sambutan memberansangkan daripada pelanggan, produk terbaharu ini juga diberi peluang untuk kolaborasi dalam kempen Ramadan Mega All Star di TikTok,” tutur Zarol.

Koleksi Bib Raya ini dijual pada harga antara RM85 hingga RM99 dan boleh didapati melalui TikTok Shop The Fluffyss serta ejen yang dilantik. Ia juga bakal dipasarkan secara fizikal di Absolut Bazaar di MITEC Kuala Lumpur dari 13 hingga 15 Mac depan.

Setiap pembelian turut disertakan kotak eksklusif, menjadikan pengalaman beraya si bulus lebih istimewa dan setanding dengan tuannya.

Dalam masa sama, Amri dan Zarol yang popular menerusi Cikidot Channel memaklumkan mereka kini memperlahankan aktiviti seni untuk memberi tumpuan kepada perniagaan.

“Kami berdua sebulat suara untuk memberi fokus kepada perniagaan yang dibina sepanjang musim perayaan ini.

“Selepas raya andai ada tawaran lakonan dan pengacaraan saya terbuka untuk menerimanya. Buat kempen untuk sosial media masih berjalan seperti biasa,” jelas Amri.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Dri-FIT Club

Nike Dri-FIT Club

Jordan Club Hat

Jordan Club Hat

Nike Brasilia Training Duffel Bag

Nike Brasilia Training Duffel Bag

Nike Sportswear Futura

Nike Sportswear Futura

Must-Watch Video

Advertisement